Isnin, 30 Julai 2012

Belajar Memahami Keutamaan - Dr Ridhuan Tee



Pada 20 Julai 2012, dua buah buku saya, bertajuk “Masih Adakah Ketuanan Melayu?” dan Cabaran Saudara Baharu di Malaysia, dilancarkan yang Menteri Pertahanan. Ucapan aluan saya telah dijadikan berita oleh beberapa laman web, termasuk Malaysianinsider dan diulas oleh Zan Azlee pada 27 Julai 2012, bertajuk Ridhuan Tee does it again!
 
Ternyata Zan Azlee tidak faham konteks dan maksud. Sebaik-baiknya hadirlah dalam majlis tersebut, baharulah boleh memberi komen dan ulasan. Apapun, saya maafkan, mungkin kerana beliau terlalu muda untuk memahami Islam, walaupun lahir Islam. Saya dilihat seolah-olah jahil dalam memahami Islam. Saya syorkan beliau lebih mendalami Islam agar ilmu Islamnya menjadi lebih luas. Bacalah sama buku karangan ulamak Islam tersohor, Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Fiqul Awlawiyyat atau Memahami Keutamaan.
 

Zan Azlee cuba mengajar saya tentang konsep kesejagatan Islam dengan memetik ayat al-Quran dalam surah Ar-Rum, al-Hujurat, dan Hadis Nabi SAW, tentang kehebatan Allah SWT menjadikan manusia berbangsa-bangsa. Saya syorkan lagi supaya membaca buku Ibnu Khaldun bertajuk al-Muqaddimah, berkaitan dengan semangat cintakan bangsa.
  

Syor ini lakukan kerana cabang ilmu sangat luas. Tidak cukup sekadar memahami Islam dengan memahami kulitnya sahaja. Memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis, belum tentu boleh membuktikan kita ini hebat atau berilmu. Jika begitulah keadaan, ultra kiasulah yang paling cekap. Merekapun memetik ayat al-Quran dan mahu mengikut Umar Abdul Aziz. Sebagai umat Islam, sepatutnya kita perlu memahami ilmu-ilmu Islam hingga ke akar umbi, walaupun mungkin, kita bukan berlatar belakangkan pengajian Islam. Saya bukanlah ustaz, tetapi saya cuba menjadi ustaz.
  

Saya menjelaskan dalam ucapan tersebut, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dengan kepentingan agama. Maka kepentingan agama Islam mesti diutamakan berbanding kepentingan bangsa. Allah SWT tidak akan tanya, apakah bangsa kamu di alam kubur nanti. Tetapi yang akan ditanya adalah apakah agama kamu? Pada saya, persoalan bangsa sudah tidak menjadi penting apabila berlaku pertembungan dengan agama.
  

Persoalan besar yang saya ketengahkan adalah soal agama Islam, yang mesti dipertahankan daripada diinjak-injak oleh orang lain. Secara kebetulan, agama Islam itu dianuti oleh semua Melayu kerana dalam konteks perlembagaan, semua Melayu itu beragama Islam. Tidakkah menjadi kewajipan kepada kita mempertahankan mereka yang beragama Islam, selagi mereka berada di landasan yang betul.
  

Sepanjang kajian saya, dengan Islam yang menjadi anutan orang Melayu, orang Melayu menjadi satu bangsa yang begitu bertoleransi berbanding dengan bangsa lain, termasuk bangsa saya sendiri, yang sebahagian bersifat ultra kiasu. Orang Melayu sanggup korbankan kepentingan mereka, demi meraikan orang lain.
   

Misalnya, dalam bidang pendidikan negara. Tidak ada sekolah Melayu, tetapi ada sekolah berasaskan bangsa lain. Orang Melayu begitu berlapang dada menerima sistem pendidikan bukan Melayu. Persoalannya, kenapa terlalu sukar untuk orang bukan Melayu menerima pendidikan Islam, institusi seperti MARA dan lain-lain berkaitan dengan Islam dan Melayu. Apa jua perkara berkaitan dengan Islam ditentang habis-habis. Sehingga orang Islam tidak dapat mengisytiharkan atau melaksanakan hukum Islam di negaranya sendiri.
  

Kita semua sedia maklumkan, setiap negara ada sejarah asal usul tuannya. Negara China membentuk ketuanan Cina, negara India membentuk ketuanan India, negara Arab membentuk ketuanan Arab, dan lain-lain. Tetapi negara Melayu tidak membentuk ketuanan Melayu. Yang ada hanya slogan sahaja. Identiti Melayu Islam semakin lama semakin terhakis. Jika tidak dipertahankan, ia akan hilang secara perlahan-lahan akibat desakan dan tuntutan bukan Melayu ultra kiasu yang begitu ekstrem.
   

Saya tidak kata mempertahankan Melayu yang melakukan kejahatan atau mengengkari hukum Allah SWT. Orang Melayu yang derhaka kepada Allah SWT tidak wajar dibela. Pendirian saya dalam soal ini amat jelas. Saya tidak faham kenapa Zan Azlee begitu keliru. Jika tidak faham konteks dan keutamaan, tanyalah saya. Itulah sikap anak muda yang sebenar. Bukan mahu menunjukkan pandai, wal hal sebenarnya tidak.
  

Rasulullah SAW adalah contoh individu yang terlalu sayangkan tanahair, kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabila meninggalkan kota tanahairnya semasa berhijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur”. Cendekiawan Islam,Yusuf al Qardhawi pernah menyebut: “Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi SAW sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, Baginda berkata kepada kota Mekah: “Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya”. Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergelenang air mata Rasulullah dan Baginda bersabda: “Biarkanlah hati ini memperakuinya”. Begitulah semangat cintakan negara dan bangsa kerana agama yang diungkapkan oleh Junjungan besar kita.
  

Justeru, anak muda seperti Zan Azlee perlu banyak membaca dan menambah ilmu tentang keutamaan dan prioriti, terutama apabila berlaku pertembungan sebegini. Zan Azlee dan saya tidak sebangsa, tetapi seagama. Mengikut kaedah, jika sesuatu berlaku kepada Zan Azlee, saya terpaksa mendahulukan saudara dahulu kerana saudara dengan saya seagama, walaupun tidak sebangsa. Saya terpaksa tinggalkan bangsa saya buat seketika.
  

Lainlah jika saudara hanya Islam pada kulit sahaja. Pada ketika itu saya perlulah mendahului bangsa saya yang lebih simpati kepada Islam daripada diri saudara sendiri, walaupun kita seagama. Ini kerana, belum tentu menyelamatkan saudara dapat menyelamat Islam. Tetapi dengan menyelamat bangsa saya yang bersimpati dengan Islam, saya yakin lama kelamaan dia akan memeluk Islam. Mengikut pengalaman, kadangkala menyelamatkan orang Islam yang tidak jelas Islamnya, boleh menjadi beban kepada Islam. Apatah lagi jika mereka terdiri dari kalangan yang bermuka-muka atau munafik. Saya harap Zan Azlee faham respon ringkas ini. 
 
 
Dr Ridhuan Tee

1 ulasan:

  1. Tentang Zan Azlee, jangan buang masa dengan dialah, ini semua melayu baru, konon lebih pandai dan lebih tahu. Dr Ridhuan Tee, lebih faham tentang melayu. Kalau melayu jenis ini selalunya bukan apa2 nak cari populariti je, macam si monyet melayu baru dari Air asia, zaid brahim dan seangkatan dgn nya.

    BalasPadam