Jumaat, 10 Ogos 2012

Selamatkan Akidah Umat Islam ...????



Kempen “Selamatkan Maryam” atau savemaryam, mengenai gerakan Kristianisasi di Indonesia sedang hangat diperkatakan. Menurut laporan, lebih 2 juta rakyat Indonesia murtad menjadi Kristian setiap tahun.  Logik atau tidak, sama-samalah kita fikirkan. Pada hemat saya, mengambil kira situasi Indonesia dahulu dan kini, perkara ini tidak mustahil boleh berlaku. Rakan laman muka buku saya menceritakan gerakan Kristian di sana amat hebat dan berkesan.

Antaranya faktornya adalah (i) kadar kemiskinan yang tinggi boleh menyebabkan orang menjual akidah, (ii) tidak ada perlindungan terhadap Islam dalam perlembagaan, (iii) tidak ada program yang tersusun yang serius untuk menyelamat akidah umat Islam, (iv) saiz negara yang begitu besar, mempunyai lebih  13 ribu buah pulau, menyebabkan sukar untuk dikawal jika mengamalkan sistem demokrasi, (v) agama Islam hanya tinggal pada nama dalam Pancasila, (vi) nama-nama dan cara hidup sudah tidak membezakan antara Islam dengan Kristian, (vii) kebebasan media yang keterlaluan, (viii) tidak ada tindakan dilakukan jika ada usaha untuk memurtadkan orang Islam, (ix) membenarkan perkahwinan antara agama dan sebagainya.

Negara Indonesia dikenali sebagai negara berpenduduk terbesar Islam di dunia. Dahulunya, lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam. Namun, kini tidak lagi. Hanya tinggal 200 juta sahaja yang beragama Islam, daripada 240 jumlah keseluruhan. Selebihnya telah meninggalkan agama yang maha suci ini.

Mengikut jangkaan, jika sesuatu tidak dilakukan, pada tahun 2035, Indonesia akan menjadi sebuah negara majoriti Kristian. Jika perkara ini berlaku, ia merupakan satu ancaman besar kepada negara Islam kecil seperti Malaysia. Apatah lagi, negara semut ultra kiasu di selatan tanah air yang dahulunya milik Tanah Melayu,  sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan.

Gerakan Kristianisasi tidak kurang hebatnya di sini. Apa yang berlaku di Indonesia ini, cuba dipraktikkan di sini atas nama hak asasi manusia. Kita bernasib baik kerana terdapat perlindungan terhadap Islam dan perlembagaan. Jika tidak, apa akan terjadi kepada orang Melayu? Saya tidak dapat bayangkan. Sebab itulah, saya selalu berkata, undang-undang sebegini tidak lapok. Rujuklah perkara 3(1), 11(4), 12(2) dan lain-lain lagi dalam perlembagaan persekutuan.

Saya amat mengharapkan kerajaan Malaysia sentiasa sensitif dengan perkara ini, walaupun ada pihak yang sinis, mengatakan, kenapa kita terlalu takut dengan Kristianinasi, bukankah menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan agamanya? Jawapannya, negara kita berbeza dengan negara lain.  Kita mesti bersedia berhadapan dengan perancangan jahat orang lain.

Selain persediaan akidah yang mantap, kekuatan pertahanan dan keselamatan hendaklah dilakukan bersekali.  Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal ayat 60: “Dan bersedialah untuk menghadapi mereka( musuh-musuh Islam ) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi”

Ingatlah, perancangan Kristian begitu tersusun dan licik. Mereka mempunyai kewangan yang mantap dari seluruh dunia. Nusantara Melayu adalah sasaran utama mereka, setelah mereka dilihat seolah-olah telah ‘gagal’ dalam perancangan dakwahnya di barat kerana Islam lebih mendapat tempat di sana. Kini, mereka mengalih usaha mereka ke rantau ini. Maka tidak hairanlah begitu ramai bangsa saya yang memeluk agama Kristian. Mereka ini apabila memeluk Kristian, lebih ekstrem daripada Kristian di barat. Inilah yang sedang berlaku di Indonesia. Inilah juga perancangan jahat InterFaith Commission (IFC) dengan 14 tuntutannya, yang mahukan kerajaan mengiktiraf mereka.

Mengikut sumber, gerakan Kristianisasi turut memberi khutbah pada hari jumaat bagi mengelirukan umat Islam. Penggunaan kalimah Allah, iman, solah dan sebagainya sudah menjadi perkara biasa. Selain itu, mereka menyediakan talian hayat dan bantuan secara percuma kepada yang memerlukan. Lebih hebat lagi, mereka telah mempunyai sistem telekomunikasi sendiri atau siaran televisyen secara percuma.

Ingatlah wahai saudaraku, orang Indonesia itu juga adalah saudara kita. Selamat mereka, selamatlah kita. Kita tidak boleh berpeluk tubuh.  Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang bersaudara dengan seseorang kerana Allah, nescaya Allah akan mengangkatnya ke suatu darjat di syurga yang tidak dapat diperolehi dengan sesuatu dari amalnya” (Riwayat Muslim). Dalam hadis Baginda menyebut; "Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi atau mencelakakannya. Barang siapa membantu keperluan saudaranya sesama Muslim dengan menghilangkan satu kesusahan darinya, nescaya Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan barang siapa menutupi aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat” (Riwayat Bukhari).

Kita masih boleh menarik nafas lega di sini. Itupun kita masih tidak dapat memastikan nasib pembantu-pembantu rumah Indonesia beragama Islam yang bermajikankan orang bukan Islam. Sejauh manakah nasib dan hak-hak mereka terbela? Kita sudah biasa mendengar, bagaimana pembantu ini Islam tidak dibenarkana bersolat, memotong dan menghidangkan daging babi, menjadi hamba seks dan sebagainya. Bayangkan jika proses Kristianisasi berlaku, apakah tidak mungkin pembantu rumah ini menjadi murtad? Pihak imigresen perlu melakukan sesuatu. Jika tidak, kita juga dianggap bersubahat.

Akhirnya, marilah kita menyambut dan menyahut kempen savemariam. Paling utama dilakukan ialah memberi sumbangan (sedekah) sebanyak mungkin kepada umat Islam di sana untuk mengadakan televisyen Islam dan menyokong segala usaha menyelamatkan akidah umat Islam. 
 
Dr Ridhuan Tee Abdullah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan