Selasa, 11 September 2012

Teka-teki isu Nasha selesai, selepas ini...?


 ANALISIS - Majlis Syura tidak bincang isu Nasharudin Mat Isa. Tetapi difahamkan ada disebut sepintas lalu.

Sinar Harian Online difahamkan anggota Majlis Syura mengambil pendirian bersama imej parti perlu dipelihara. Fokus utama buat masa sekarang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PUR13).


Ramai melihat Pas mengambil langkah selamat untuk ‘tunggu dan lihat’ terhadap nasib bekas Timbalan Presiden itu apabila beliau tidak dikenakan sebarang tindakan oleh Majlis Syura parti itu, malam kelmarin.


Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya, Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Pas mengekalkan Nasharudin kerana beliau golongan intelektual dan profesional dalam parti itu.


Menurutnya, pemecatan Nasahrudin akan memberikan kesan kepada dalaman dan luaran imej parti kerana Nasharudin mempunyai pengikut sendiri.

“Orang luar akan melihat kredibiliti parti itu. Beliau juga adalah aset kepada parti.

“Ketiadaan Nasharudin juga akan dijadikan modal politik untuk menunjukkan kelemahan dalam Pas. Oleh itu, Pas membiarkan Nasharudin bersama parti itu untuk mengurangkan spekulasi,” katanya.


Samsul Adabi berkata, Pas mengekalkan Nasharudin untuk mengelakkan tamparan (kontroversi) kedua kepada Pas apabila tindakan mereka sebelum ini memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Mohamed Ali beri kesan besar kepada imej parti itu.


Sementara itu, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hasan berkata, Nasharudin penting kepada Pas menyebabkan mereka sangsi untuk menangani kes melibatkan pemimpin itu walaupun tindakan beliau bertentangan kehendak parti.


“Logiknya, tindakan perlu diambil terhadap Nasharudin tetapi diketepikan demi kepentingan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Apa jua tindakan terhadap Nasharudin akan merugikan Pas.


“Nasharudin mempunyai banyak pengikut. Isu ini menunjukkan kepimpinan Pas sanggup undur belakang melanggar prinsip sendiri asalkan bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13,” katanya.


Beliau berkata, Pas juga dilihat tidak mahu hilang populariti dan bermain tarik tali kerana secara logiknya Nasharudin perlu menerima hukuman.


“Dalam Umno, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pecat ahli parti yang sabotaj Umno. Itu tindakan tegas. Kepimpinan Pas lemah untuk menangani isu ini kerana tidak punyai prinsip,” katanya.


Azmi berkata, mustahil isu Nasharudin tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura, kerana Nasharudin penting kepada parti.

 “Saya tidak berada di situ tetapi saya pasti isu Nasharudin dibincangkan dalam Majlis Syura. Mereka berbelah bahagi untuk mengambil tindakan terhadap Nasharudin dan kemungkinan perbincangan dilakukan tetapi kata sepakat tidak dicapai. Oleh itu mereka katakan tidak terdapat dalam agenda mesyuarat mereka.

“Kemungkinan mereka bertindak mengekalkan Nasharudin sebagai strategi untuk mengelakkan isu ini.


“Ketiadaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mesyuarat itu dan menyatakan isu tidak dibincangkan, menunjukkan Pas cuba mengelakkan diri daripada menangani isu Nasharudin secara berdepan,” katanya.


Nasharudin masih lagi ahli Pas kerana mesyuarat bulanan Majlis Syura Pas yang berlangsung kelmarin tidak membincangkan isu Ahli Parlimen Bachok itu.


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura hanya membincangkan tentang persediaan Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sahaja.


Nasharudin masih ahli Pas dan kekal sebagai Ahli Majlis Syura.


Pemerhati politik telah menjangkakan bahawa Majlis Syura Pas, tidak akan menyentuh isu bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini lantang menyuarakan agar Pas mempertimbangkan semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud.


Mengulas isu yang sama, Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM)  berkata, intipati mesyuarat tersebut tidak mahu menyentuh isu Nasharudin kerana terdapat agenda yang lebih penting seperti calon PRU13, yang ramal oleh beberapa parti politik pada bulan November ini.


"Mereka tidak mahu memecat Nasharudin, jika beliau dipecat, kemungkinan Umno akan mengambil Nasharudin sebagai ahli mereka dan akan menjadi mata-mata untuk Umno," ujar  Azizuddin.


Tambah beliau, Pas sudah mengkaji perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada untuk menjatuhkan hukuman kepada Nasharudin atau tidak kerana sebarang keputusan ia akan memberikan kesan terhadap parti tersebut.


"Bagi pendapat saya, pucuk pimpinan Pas sudah meramalkan apa yang bakal berlaku dan kesan terhadap parti jika sebarang tindakkan diambil terhadap Nasharudin," tambah Azizuddin.


Apabila ditanya sama ada Nasharudin bakal bertanding di parlimen Bachok pada PRU-13, ramalan yang diberikan adalah beberapa kemungkinan akan berlaku.


"Nasharudin kemungkinan tidak akan bertanding di Parlimen Bachok, pucuk pimpinan Pas mungkin akan meletakkan beberapa calon di tempat kelahiran sendiri, seperti Nasharudin kemungkinan akan bertanding di Kedah serta lain-lain calon yang berkemungkinan akan pulang ke kampung sendiri," ujar beliau.


Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata: "sebarang tindakan dibuat terhadap beliau (Nasharudin) akan memberi kesan sangat besar."


"Ini kerana dalam hal ini, Nasharudin bukan berseorangan, malah dia mempunyai pengikut yang ramai dalam parti tersebut," ujar Ahmad Atory.


Tambah beliau, kemungkinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memikirkan tentang kesetiaan Nasharudin dalam parti.


Beliau seterusnya berkata, "Nasharudin tak dipecat dari parti, namun besar besar kemungkinan beliau tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya."


"Susah kita nak lihat orang yang betul -betul memperjuangkan Islam, beliau (Nasharudin) mempunyai ramai pengikut dan tidak mustahil BN akan menarik beliau untuk diletakkan mana - mana kerusi kerana BN akan meletakkan calon 'winnable candidate' untuk memenangi sesebuah kerusi di pilihan raya," ujar beliau.


Beliau menjangkakan keputusan mengenakan tindakan terhadap Nasharudin kemungkinan akan diputuskan selepas PRU13 kelak.

 
Teka-teki isu Nasha selesai, selepas ini...?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan