Selasa, 8 Januari 2013

PR setuju bukan Islam guna kalimah ALLAH...




Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mencapai pendirian penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia  tidak disalahgunakan.


Keputusan tersebut diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi PR yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.


Pada sidang media selepas itu, Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.


Menurutnya, penganut Islam dari berbagai bangsa tetap menyebut perkataan ALLAH apabila menterjemah ke dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.


"Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya.




Nik Aziz: Bukan Islam wajar diberi ruang guna kalimah ALLAH


Di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.


Katanya, itu adalah pendapat peribadi beliau.


Sehubungan itu katanya, keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Ulama Syura Pas, Sabtu ini.


Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.


"Ini pandangan saya, sekiranya mesyuarat nanti tidak memberikan kebenaran, saya akan ikut," katanya kepada media.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan