Saya diminta oleh
ultra kiasu untuk melakukan permohonan maaf dan menarik balik artikel yang
disiarkan minggu lalu bertajuk kesabaran
umat Islam ada had. Beberapa laporan polis turut telah dilakukan. Terima
kasih. Penulisan saya dikatakan berbau perkauman, rasis dan penuh prasangka.
Ramai wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan respon. Saya jawab tidak
perlu. Tunggu sahaja artikel seterusnya berhubung pendirian saya.
Berani kerana benar,
takut kerana salah. Tunjukkan kepada saya di mana masalah dengan artikel
tersebut? Jika saya dikatakan rasis, adakah bangsa lain dan orang yang mempertikaikan
tulisan saya tidak rasis? Tepuk dada tanya iman. Sebenarnya, merekalah yang
lebih rasis kerana berada dalam parti dan komuniti tersebut. Jika saya rasis,
sudah pasti saya mempertahankan bangsa saya. Ini tidak, saya mempertahankan hak
orang lain, Islam dan Melayu, kerana keduanya sudah sebati. Agama lebih penting
daripada bangsa.
Saya hanya mengingatkan,
mutakhir ini kita terlalu banyak memberi. Sehingga kita tidak pasti, ada apa
yang masih tinggal. Pemberian pula, bukan sembarangan. Sehingga kepada
perkara-perkara asas atau dasar. Benar, pilihan raya sudah semakin hampir,
tetapi itu bukan bermakna kita perlu beri segala.
Pilihan raya
hanyalah alat, manakala agenda membina negara tetap kekal sampai bila-bila.
Jika dari awal kita tidak perbetulkan, saya bimbang kita akan menghadapi
masalah masa akan datang. Ultra kiasu akan terus mengambil kesempatan dan
memanipulasi.
Saya yakin keadaan
ini tidak akan ada penghujung walaupun selepas PRU 13. Ultra kiasu tidak akan
memberikan laluan mudah kepada BN. Jika BN menangpun, keputusannya pasti tidak
banyak berbeza dengan PRU 12. Tidak ada kemenangan dua pertiga. Bermakna, ultra
kiasu mempunyai bargaining power atau
kuasa tawar menawar. Kita akan terus
memberi selama 5 tahun lagi. Selepas itu, saya tidak tahu, apa yang masih
berbaki.
Berkali-kali saya
katakan, kita mesti bertegas dalam soal membina dan pembangunan negara. Negara
ini perlu ada identiti dan jati diri seperti mana yang telah termaktub dalam
perlembagaan. Jangan biarlah tangan-tangan jahat mencemarinya. Jika tidak, kita
tidak akan ke mana-mana,yang rugi adalah Islam dan Melayu. Kita terlalu
berpolitik dalam mengambil keputusan dan tindakan.
Sebagai pemimpin,
tidak dinafikan kita perlu menjaga hati semua orang. Tetapi perlu diingat, hati
sendiripun perlu dijaga. Jika hati sendiri tidak tenang dan asyik terluka, ia
hanya akan membuahkan dendam yang tidak tahu bila akan dilepaskan.
Berkali-kali saya
nyatakan, bahawa identiti negara ini adalah Islam, Melayu, Raja dan hak-hak
mereka. Ianya perlu dipelihara tanpa diganggu-gugat. Benar, kita mengamalkan
sistem demokrasi dan kebebasan beragama serta hak orang lain. Tetapi itu bukan
bermakna, agenda Islam dan Melayu tidak perlu mengakari dan mendasari?
Identiti ini perlu
menjadi akar. Yang lain-lain hanya menyokong. Bukannya, lain-lain menjadi akar,
Islam yang menyokong. Pergilah ke dunia mana sekalipun, identiti majoriti atau
mereka yang berkuasa tetap terserlah.
Contoh, kita ada
Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), yang mendasarinya adalah budaya penduduk
asal. Persoalan, adakah matlamat DKK ini tercapai? Apa yang saya lihat, budaya
lain yang mendominasi atas alasan 1Malaysia. Apa yang masih tinggal adalah
upacara membaca doa dalam majlis dan sekolah. Itupun masih dipertikaikan, atas
alasan mereka juga perlu berdoa kepada Tuhan.
Bila tiba isu
kalimah Allah, ultra kiasu beriya-iya untuk berkongsi Allah dengan kita. Tetapi,
apabila kita berdoa kepada Allah SWT, tidak pula mereka mahu mengikut atau
mengangkat tangan bersama. Malah, kalau boleh mereka tidak mahu langsung tengok
dalam upacara adalah majlis berdoa. Nampak atau tidak kelicikan ultra kiasu? Kenapa masih terlalu bersangka baik?
Rumah ibadat bukan
Islam jika dicampurkan kesemua, berjumlah lebih daripada 300,000. Sedangkan
rumah ibadat Islam untuk orang Islam selaku majoriti penduduk negara hanya
berligar di sekitar 40,000. Cuba campur,
hampir sepuluh kali ganda. Adakah membangkitkan perkara ini rasis? Adil itu
bukan bermakna dapat seorang satu, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Jika umat Islam menjadi majoriti, dari segi keadilan, sepatutnya rumah ibadatnya
lebih banyak dan menyerlah daripada bukan Islam. Tetapi hakikat itu tidak
pernah berlaku. Kita menjadi minoriti dalam majoriti.
Ada yang memberi
respon, kegiatan umat Islam seperti solat jumaat juga menyusahkan bukan Islam
kerana jalan raya menjadi sesak disebabkan oleh sebilangan jemaah yang
memakirkan kenderaan menutupi jalan sehingga tinggal satu lane. Pada saya, itu masih lagi berada dalam ruang lingkup keadilan,
sebab hak ini dijamin dalam perlembagaan. Itu bukanlah saya bersetuju dengan
tindakan memakir kenderaan sesuka hati. Sebelum ini, saya selalu mengingatkan
kita agar memakir kenderaan agak jauh sedikit daripada masjid ketika solat Jumaat
supaya tidak menghalang laluan kenderaan lain. Tunjukkan agama Islam suatu
agama yang mudah dan tidak menyusahkan orang lain. Rujuk artikel saya yang
lalu.
Contoh makna adil
yang lain, dua rumah ibadat didirikan secara ‘haram’ di tanah kerajaan, Islam
dan bukan Islam. Pihak berkuasa mengambil keputusan untuk merobohkan kerana
pembinaan tidak sah. Maka, tindakan merobohkan rumah ibadat bukan Islam tidak
menjadi kesalahan besar, berbanding meroboh rumah ibadat Islam. Maknanya, Islam
sebagai agama persekutuan lebih kuat mengikat berbanding dengan kebebasan
mengamalkan agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1).
Hakikat yang selalu berlaku,
yang selalu kena roboh adalah rumah ibadat Islam, kita selalu mengalah. Namun,
bila tiba pada ultra kiasu. Mereka seolah-olah kebal. Tidak boleh disentuh
langsung. Jika ada tindakan dikenakan, maka alasan mereka, bercanggah dengan
gagasan 1Malaysia.
Belajarlah daripada
negara Thailand. Patung Buddha dan patung raja gagah mendominasi di mana
sahaja. Tiada siapapun berhak mempertikai. Jika dipertikaikan, maka penjaralah
padahnya. Penegasan inilah yang kita mahu, bukannya melepas dan menarik tali. Sama
juga isu bahasa, jika kebangsaan itu adalah bahasa negara, maka, bahasa lain
tidak berhak menonjol sama sekali, melainkan bahasa kebangsaan yang
mendominasi. Tidak siapa boleh mempertikai.
DR Ridhuan Tee
Tiada ulasan:
Catat Ulasan