Sampai
bila mahu Islam dihina oleh musuh-musuh Islam yang kita kenali? Mana ‘telur’
kita? Apakah kita sudah tidak ada ‘telur’ lagi disebabkan oleh kepentingan
politik menutupi segala-galanya? Jika ahli politik sudah tidak ada ‘telur’,
mohon Raja-Raja Melayu masuk campur tangan. Jika tidak, kita akan menyesal
kemudian hari. Kita akan dikutuk oleh generasi akan datang
Kita
terus melukut di tepi gantang. UMNO dan PAS sudah tidak boleh diharap. PKR kita
tolak ketepi. Tidak ada menteri yang bercakap atau bangun mempertahankan soal
penghinaan terhadap korban atau sembelihan di sekolah. Banyak lagi isu lain
yang menyentuh sensitiviti agama Islam yang jelas-jelas termaktub dalam
perlembagaan sebagai agama persekutuan, dihina dan dikeji? Apa kita buat? Kami
sebagai rakyat, amat sedih, hiba dan sakit hati, bercampur geram. Kenapa kita
begitu dayus? Inikah sifat seorang negarawan? Kita terlalu menjaga hati orang,
sehingga hati sendiri terguris.
Apakah
memang benar sembelihan kurban dan mempertahankan kalimah Allah itu satu
kesalahan? Katakan! Jangan membisu seribu bahasa. Berdosa. Sekadar ahli
parlimen bercakap, masih tidak kuat. Apapun saya ucapkan tahniah kepada sahabat
saya YB Shahbudin Yahya, MP Tasek Gelugor.
Saya
pelik, dekat pilihan raya sahaja sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), kita
menjadi kecut. Kita tidak berani memberi komen penghinaan yang dilakukan. Malah
kita beri apa yang mereka minta sebanyak-banyak. Nak kata mereka mengundi kita,
tidak juga.
Saya
amat bimbang dengan desakan cuti dua hari untuk perayaan minoriti diluluskan,
sedangkan perayaan besar agama persekutuan seperti Hari Raya Kurban hanya
diberikan satu hari sahaja. Bayangkan selepas ini, bangsa-bangsa minoriti
pribumi Sabah Sarawak, yang mana mereka lebih berhak, turut menuntut cuti dan
cuti tambahan hari kebesaran dan perayaan mereka. Maka berpestalah kita dengan
cuti sepanjang tahun. Cuti-cuti Malaysia katanya. Ingatan saya, jangan jadi
seperti bangsa Maori di New Zealand. Pribumi Maori merempat di tanahair sendiri,
bila orang lain menguasai.
Penting
sangatlah kerusi DUN Sg Limau sehingga kita sanggup serahkan segalanya. Jika
UMNO tidak memenangi DUN Sg Limaupun, UMNO masih memerintah negeri Kedah.
Tetapi jangan tawarkan bulan dan bintang. Sakit hati melihatnya. Saya tidak
bantah peruntukan lebih RM2 juta diberikan kepada SJKC di Sg Limau.
Saya
difahamkan peruntukan tersebut datang daripada wang cukai judi, arak dan
sebagainya yang diharamkan dalam Islam. Tetapi itu bukan bermakna, wang tersebut
hanya disalurkan ke situ sahaja. Masih ada tempat lain yang boleh disalurkan
untuk kegunaan awam, walaupun sumber haram, seperti membina jambatan di Sabah
Sarawak dan banyak lagi. SJKC sudah kaya raya di seluruh negara dengan kekuatan
dan perpaduan NGO-NGO mereka. Tanya Dong Zong dan Jiao Zong. Buatlah audit.
Begitu
juga dengan PAS. Jangan kerana marahkan UMNO dan kini sudah tidur sebilik
dengan DAP dan PKR, kita turut menjadi penakut. Bersuaralah. Ini tidak, sikit
sangat suaranya dalam isu sembelihan korban dan isu yang menyentuh maruah Islam.
Isu kalimah Allah, janganlah cerita. Kepemimpinan pusat tidak membantah
apa-apa, kecuali Harun Taib dan Harun Din. Kedua-dua Harun ini memang hebat dan
sepatutnya memimpin PAS, bukan yang lain.
Saya
sudah ulas isu kalimah Allah dalam tulisan yang lalu, tidak perlu diulang.
Kalimah ini boleh digunakan mereka, jika tidak ada niat jahat. Tetapi saya tahu
perancangan mereka, sebab dahulunya saya tidak bersunat. Saya pernah menjadi
Kristian buat seketika.
Ingatan
kepada PAS dan UMNO, jangan kerana dendam dan sudah mendapat kawan baharu, kita
menjadi dayus seolah-olah tidak ada ‘telur’. Rakyat sudah bosan dengan
permainan kedua-dua parti politik Melayu ini. Jika kedua parti politik tidak
mengorak langkah untuk berbincang dan tegas pendirian berkaitan Islam, maka
kerelevanan dipertikaikan.
Saya
setuju dengan cadangan sudah sampai masa sebuah parti politik ditubuhkan
menggantikan UMNO dan PAS sebagai alternatif kepada umat Islam, yang sedang hangat
diperkatakan dalam laman sosial seperti face
book hari ini.
Justeru,
sudah sampai masanya sebuah parti politik baharu diwujudkan. Bukan menjenamakan
semula parti BERJASA. Tetapi menubuhkan sebuah parti politik baharu. Saya yakin
sambutannya menggalakkan.
Apa
perlu dilakukan adalah dengan menggabungkan kepemimpinan NGO-NGO Islam yang
lantang mempertahankan hak-hak Islam (Melayu). Antaranya adalah ISMA, PERKASA,
JATI, MUAFAKAT, MACMA, ACCIN dan lain-lain lagi. Saya harap ia boleh dijadikan
suatu realiti.
Kepemimpinan
hari ini perlu ingat, bahawa kemenangan PRU13 sebelum ini adalah kerja keras
semua NGO-NGO ini. Mereka bertungkus-lumus memastikan Pakatan Rakyat yang
ditunjangi oleh DAP dan PKR tidak memerintah. Jika PAS yang memerintah, masih
sedap hati ini. Ini tidak, PAS hanya berjaya mempertahankan Kelantan. Negeri
lain, PAS seolah-olah melukut ditepi gantang. DAP dan PKR tidak mempercayai
PAS.
Agenda
Islam dan negara Islam ditentang habis-habisan. Dakwaan PAS bahawa DAP sudah
lembut terhadap Islam, bersama-sama menggantung dan mengibarkan bendera PAS
ketika pilihan raya, hanya lakonan palsu semata-mata.
Saya
sudah lama menyarankan UMNO dan PAS berbincang demi masa depan Islam, tetapi
PAS menolak mentah-mentah. Hujahnya mudah, UMNO tidak mahu Islam. PAS sanggup
bersekongkolkan penentang Islam dari orang Islam sendiri. Makin kuat PAS
mendekati DAP dan PKR, makin kuat mereka menentang Islam. Apakah ini bermakna
mereka sudah lembut? Mereka tidak lembut. Lembutnya mereka untuk mempergunakan
PAS.
Jika
begitulah keadaannya, semua parti politik Islam Melayu sudah tidak ada ‘telur’,
maka sudah sampai masanya sebuah parti Islam yang berani mempertahankan Islam
(Melayu) ditubuhkan. Marilah sama-sama kita merealisasikannya. Kita perlukan
parti politik yang benar-benar ada ‘telur’.
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan