Isnin, 30 Januari 2012

Ultra kiasu dan pembinaan negara ....

(Sinar Harian 9 Jan 2012)

Beberapa persatuan dan parti politik Cina ultra kiasu terutamanya Dong Zong dan banyak lagi Zong lain, terus mendesak supaya kerajaan memberikan kebenaran untuk membina lebih banyak lagi Sekolah Persendirian Cina, di samping desakan penambahan sekolah bantuan penuh (dan modal) kerajaan sedia ada seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Alasan mereka, sekolah persendirian tidak melibatkan peruntukan kerajaan, kenapa tidak dibenarkan didirikan? Beberapa pertemuan telah dibuat dengan Timbalan Menteri ultra kiasunya. Saya yakin mereka seia sekata. Perancangan sedang dibuat untuk bertemu dengan pimpinan tertinggi negara bagi merealisasikan tuntutannya.

Apa yang memelikkan, kajian mengenai kesan sekolah ini ke atas pembinaan negara bangsa tidak pernah dilakukan, yang ada hanya desakan dan tuntutan. Bila kebenaran pembinaan diberikan nanti, sekolahpun telah siap, pada masa sama, mereka juga mendesak kerajaan supaya sekolah persendirian dibantu dan sijilnya (UEC) diiktiraf, selaras dengan gagasan 1Malaysia. Paling tidak, dikecualikan cukai pendapatan kepada mereka yang menderma. Apakah kita tidak belajar daripada pengalaman sebelum ini? Apakah benar institusi ini berjaya melahirkan pelajar yang berpegang kepada prinsip Malaysian first, Chinese second?

Saya harap kerajaan tidak akan tunduk kepada ultra kiasu ini. Jika terlalu terdesak sangat kerana mengharapkan undi mereka, paling tidak, buatlah perjanjian. Pertama, pentadbiran dan pengurusan silibusnya mesti diletakkan di bawah kementerian pelajaran. Kedua, pelajar-pelajarnya mesti boleh fasih berbahasa Melayu dan mempunyai jati diri Malaysia yang kuat. Ketiga, jika kehendak ini tidak dipenuhi, sekolah dan tanah mereka akan diserap ke dalam pendidikan kebangsaan. Nasihat saya, jangan ulangi kesilapan demi kesilapan. Jadikan iktibar kesilapan lalu untuk berhadapan dengan masa kini kerana ia amat penting dalam pembinaan negara.

Apakah kita sudah lupa sejarah dan masalah yang telah, sedang dan akan dihadapi dengan SJKC, SMKJC, sekolah persendirian dan universiti perkauman yang sedia ada? Kesemua institusi ini seolah-olah langsung tidak boleh disentuh dari segi silibus dan pentadbirannya, walaupun kerajaan begitu banyak membantu, termasuk yang dibantu seratus peratus. Itupun mereka berani berhujah bahawa ‘kejayaan dan kehebatan’ sekolah vernakular hari hasil usaha mereka sendiri. Bantuan kerajaan dilupakan, malah dikutuk lagi. Paling menyedihkan, sekolah vernakular bantuan kerajaan sepenuhnya pun terpaksa tertakluk kepada lembaga pengurusan mereka. Misalnya, penempatan guru besar/pengetua dan guru-guru sekolah terbabit. Ini tidak termasuk penambahan waktu pengajaran bahasa Melayu dan keseragaman silibus yang ditolak secara total. Alasannya mudah, mereka tidak mahu menjadi bangsa pisang, luar kuning, dalam putih atau tidak menjadi Cina totok.

Terbaharu, paderi ultra kiasu yang bergelar Tan Sri pula mendesak supaya semua sekolah mubaligh/rahib Kristian yang berjumlah lebih 400 buah seperti SMK Convent Bukit Nenas mesti berpengetuakan pengetua/guru besar Kristian dan mendapatkan kelulusan pemilik sekolah di bawah perintah Infant Jesus (IJ) Sisters order. Ultra kiasu ini mengungkit janji Menteri Pelajaran pada 1976, untuk berunding dengan pihak berkuasa sekolah mubaligh berkenaan pemilihan guru besar/pengetua. Peliknya ‘sekolah mereka’ mesti dipimpin oleh mereka. Sedangkan sekolah aliran kebangsaan didesak untuk dibuka kepada semua. Adakah semua ini wajar, sedangkan kerajaan memberikan bantuan sepenuhnya kepada semua sekolah ini? Di manakah kita tinggal? Dalam negara Islam atau…?

Lebih dahsyat lagi, mereka mendesak supaya ditubuhkan kementerian bukan Islam bagi melindungi agama-agama bukan Islam kerana didakwa ‘dibuli’ selama ini. Pesanan saya, jangan dijolok sarang tabuan. Berikan contoh pada saya bagaimana bukan Islam dibuli, didiskriminasi dan dipinggirkan di negara, berbanding dengan nasib agama Islam di negara lain? Cuba kiranya berapa banyak rumah ibadatnya dan peruntukan yang diperolehi, berbanding jumlah bilangan mereka? Jangan terlalu ultra kiasu?

Kenapa tidak pernah bersyukur dengan kelebihan yang diperolehi? Sedikit terkurang, ditonjolkan seolah-olah negara ini sudah kiamat. Sebagai contoh, dalam budget 2012, Kerajaan telah bermurah hati memberikan peruntukan yang sama rata di semua sekolah. Sedangkan keperluan sesebuah sekolah dan bilangan sekolah tidak diambil kira, apatah untuk memenuhi kehendak perlembagaan? Berapa banyak sekolah agama yang dibiayai sendiri? Tidakkah kita sedar, pengiktirafan terhadap lepasan sekolah agama pun hanya dibuat selepas mereka menyelaraskan sistem pelajaran mereka kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang ditetapkan kementerian? Apakah wajar pengiktirafan diberikan kepada UEC? Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan masyarakat setiap kaum dalam bidang pelajaran dengan peruntukan RM1.8 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) di seluruh negara. Ini tidak termasuk sekolah mubaligh dan lain-lain. Mana ada kemudahan sebegini di negara lain di dunia ini? Carilah. jika ada dan berhijrahlah jika dirasakan masih ada kekurangan di sini.

Perlu saya tegaskan, gelombang budaya ultra kiasu (komunis) sudah meresap dan mempengaruhi segenap aspek kehidupan. Mereka memperalatkan hak asasi manusia untuk memoptimumkan perancangan liciknya. Kebebasan yang diberikan dan gagasan 1Malaysia dipergunakan untuk memperkasakan agenda agama dan bangsa mereka. Sedangkan identiti Islam, Melayu dan kebangsaan mahu diliberalkan.

Saya masih berkeyakinan, selepas ini sijil UEC akan diiktiraf oleh kerajaan. Desakan ini telah lama dibuat oleh beberapa pertubuhan Cina sama ada berada dalam kerajaan mahupun ultra kiasu. Mereka mahukan lepasan UEC mesti diterima di IPTA. Sedangkan kita tahu, syarat-syarat kementerian tidak dipenuhi. Itupun lepasan UEC telah lama diterima di IPTS. Sekolah Persendirian ini lebih obses mematuhi kehendak universiti di China, Hong Kong dan Taiwan daripada negara sendiri. Kedudukan bahasa Melayu tidak ambil kira.

Apakah kita sudah lupa tuduhan mereka terhadap Matrikulasi, Kolej MARA, Sekolah Agama, UiTM dan beberapa institusi lain yang majoritinya pelajar Islam? Ultra kiasu secara berani menuduh, kejayaan cemerlang pelajar-pelajar ini adalah disebabkan oleh soalan yang telah permudahkan dan dibocorkan? Bagaimana pula dengan peperiksaan sekolah persendirian UEC, apakah soalannya begitu sukar dan tidak dibocorkan?

Kerajaan semakin kuat menunjukkan toleransi dan sanggup meliberalkan agenda nasional, orang lain terus mengambil kesempatan dan bersifat perkauman. Baru-baru ini apabila Perdana Menteri telah bermurah hati memperuntukkan sebanyak RM5juta kepada Hua Zong (Persekutuan Persatuan Cina Malaysia) untuk membina bangunan mereka di Seri Kembangan. Jika difikir secara logik, semua persatuan Cina sudah mempunyai bangunan mereka sendiri. Kenapa perlu dibina lagi? Berapa banyak mahu dibina? Jika dibinapun, biarlah menggunakan peruntukan sendiri, yang saya yakin, dana nya sudah melebihi daripada apa yang sedia ada. Selepas ini, setiap daerah dan negeri akan meminta peruntukan kerajaan untuk membina bangunan bersifat perkauman ini? Saya mencadangkan supaya Lembaga Hasil melakukan audit terhadap persatuan-persatuan ini. Adakah persatuan ini benar-benar miskin. Jika miskin kenapa mahu tambah lagi?

Saya difahamkan kerajaan akan bersetuju dengan permintaan ultra kiasu ini untuk mendapatkan pengecualian cukai kepada mereka yang memberi sumbangan untuk membiayai pembinaan bangunan itu. Saya tidak dengki, tetapi hormatilah perlembagaan dan kenakanlah syarat-syarat berkaitan agenda nasional. Ketika majlis pecah tanah tersebut, back drop masih mengutamakan bahasa ibunda, berbanding bahasa kebangsaan. Saya amat pelik, perkara sebegini besar (kecil) pun kita tidak mempunyai dasar? Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Apabila bangunan ini siap, saya tidak nampak ciri-ciri akan menampakkan Malaysian first. Pesanan saya, janganlah kita terlalu yakin dengan bantuan tersebut, mereka akan memberikan undi kepada parti memerintah?

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan