Isnin, 7 Mei 2012

Wahai orang Umno dan Pas, kamu adalah sebangsa dan seagama,


Kenyataan Hasan Ali mengenai walak atau ketaataanya hanya kepada Allah, bukan parti atau lain-lain seharusnya membuka mata kita semua, supaya tidak menjadi terlalu fanatik. Hasan berkata, tiga perkara yang mendasari perjuangannya iaitu Islam, bangsa Melayu dan Raja Melayu. Dalam maksud, Islam memayungi dan menaungi, manakala Melayu dan Raja adalah dua hambaNya yang berpayung di bawah naungan tersebut, kerana Melayu dan Raja sudah sinonim dengan Islam dalam konteks Malaysia. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan tiga perkara tersebut, selarilah dengan perjuangannya. Logiknya ada, parti dan ahli parti, hanyalah wasilah (alat), bersifat sementara dan tidak kekal. Manakala, yang kekal abadi, hanyalah Pencipta dan agamaNya.

Prinsip ini sudah saya pegang sekian lama, biar apapun rakan sebangsa nak kata, saya tidak kisah. Saya tidak mencari keredhaan manusia, tetapi keredhaan Ilahi. Seperti kata Hasan Ali; “Saya mohon Allah mengiktiraf saya. Bukan Pesuruhjaya Pas Selangor iktiraf malah bukan Presiden Pas iktiraf saya. Saya hendak Allah SWT iktiraf usaha kecil yang saya jalankan demi Islam, demi membangunkan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan institusi raja…Bagi saya sesiapa yang membawa Islam saya sokong. Kumpulan yang membawa Islam saya sokong. Parti yang membawa Islam saya sokong. Pemimpin yang bawa Islam saya sokong. Itu prinsip saya.”

Dari dulu saya katakan melindungi Melayu dan Raja Melayu adalah pada masa sama melindungi Islam. Tidak salah membela bangsa termasuk bangsa lain, selagi mana membela ia dapat menjaga martabat dan maruah agama. Ramai yang faham, tetapi sengaja memesongkan fakta, supaya saya dibenci dan dicaci. Namun, saya sudah lali dengan semua itu.

Saya didesak oleh rakan-rakan seperjuangan Cina Muslim supaya berhenti menulis mempertahankan Melayu kerana ia merugi dakwah Islamiyyah. Alasan mereka, orang Cina semakin menjauhi dan membenci Islam apabila terlalu banyak menulis mempertahankan Melayu, atau terlalu banyak bercakap Melayu sana, Melayu sini. Inilah malangnya nasib saya, rakan sebangsa seagamapun sendiripun tidak memahami, apatah lagi mahu menyokong. Jangan haraplah rakan sebangsa yang tidak Islam. Itu bukan sesuatu yang menghairankan. Hatta, kadangkala adik-beradik, saudara dekatpun bertindak sedemikian.

Saya tegaskan di sini, walaupun pahit. Saya akan memilih atau lebih mempercayai saudara yang tidak sebangsa, tetapi seagama daripada saudara sebangsa, tetapi tidak seagama, walaupun mungkin orang yang dekat dengan saya termasuk adik beradik, sepupu dan ipar duai. Saya rela dipandang hina. Mereka boleh berkata apa sekalipun. Saya telah nekad dan saya tahu apa yang saya lakukan. Bukan kerana pengaruh Umno atau diupah oleh Umno. Tanpa Umno pun saya akan terus menulis mempertahankan kepentingan saudara seagama, meskipun tidak sebangsa.

Ingin juga saya bertanya kepada saudara saya sebangsa dan seagama (Cina Muslim), selama saudara semua berjinak-jinak dengan ultra kiasu, menjadi seperti ultra kiasu, budaya hidup seperti ultra kiasu, sehingga tidak memperdulikan agenda nasional, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam? Lembutkah mereka dengan Islam? Berapa ramaikah mereka yang telah dijinakkah untuk mendekati Islam? Semakin kendurlah kata-kata ultra kiasu “langkah mayat aku jika mahu menegakkan Islam” atau mereka semakin kuat menentang Islam?

Apakah sumbangan kita selama ini apabila Islam dihina, dikeji, dipijak dan dienjak-enjak? Paling tidak, pernahkah kita menegur atau bertindak? Jika tidak, tidak perlulah bersusah payah menyuruh saya berhenti menulis. Apakah saya langsung tidak mempunyai hak bersuara? Paling tidakpun mengikut bidang saya sendiri, kalaupun tidak benarkan saya bercakap mengikut perspektif bangsa sendiri yang beragama Islam. Perlu diingatkan, hubungan kita atau toleransi dengan bukan Islam ada batas-batasnya termasuk dengan orang yang paling rapat. Apa guna maruah bangsa terdarjat, jika agama merempat? Apa guna hati sebangsa terjaga, tetapi maruah Islam, dicaci dan dicerca? Ini perkara yang perlu difikirkan bersama.

Buktikan pada saya, apakah program-program Islam yang disokong oleh mereka? Termasuk perlaksanaan syariat Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka, hatta kelab penyokong Pas sekalipun? Saya ingatkah kelab penyokong Pas semakin lembut dengan Islam setelah sekian lama dijinakkan oleh Pas. Namun, keadaan sebaliknya berlaku. Pendek kata, mereka terus menentang secara total dan berstrategi. Seorang bercakap, yang lain pakat-pakat saling sokong menyokong.

Biarlah dakwah Islam tidak berkembang sekalipun, tidak mengapa! Asalkan maruah Islam terjaga dan terpelihara. Lihatlah betapa maruah Islam begitu hebat dihina selepas 11 September 2001, tetapi sambutan terhadap Islam terus hebat. Kenapa? Manusia hari ini sudah bijak menilai antara hak dan batil. Langit terbuka sudah cukup memberikan ruang.

Sekadar berkongsi pengalaman tentang ultra kiasu, tahun lalu adik saya pernah menempelak secara kasar beberapa ultra kiasu yang berbual di kedai kopi, gara-gara perbualan menghina saya. Adik saya jadi berang, lalu menumbuk ultra kiasu tersebut, lalu adik saya berkata: “kalau kamu tidak kenal lagi siapa abang saya, janganlah berkata atau kutuk dia sembarangan. Saya selaku adik dia, walaupun tidak Islam, saya lebih mengetahui isi hati abang saya”. Saya tidak pernah menyuruh adik saya bertindak sedemikian. Tetapi itulah hakikat yang berlaku.

Ultra kiasu memang tidak sedar diuntung. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mematikan watak yang boleh menggugat mereka. Mereka boleh berkata apa sahaja. Kita pula diberi amaran jangan menyentuh mereka. Pendek kata, kita diminta berhati-hati apabila berkata atau menulis. Prinsip saya, adalah salah membela mereka yang menentang Islam, walaupun sebangsa. Saya akan lebih sayang kepada mereka jika mereka lembut dan bersimpati dengan Islam. Namun, tidak salah membela mereka yang tidak sebangsa, jika mereka mahukan Islam. Hatta, jika mereka tidak mahu sekalipun, kita sepatutnya lebih bersangka baik sesama Islam, kerana kita masih lagi seakidah, ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Hari ini, Hasan Ali dari Pas, telah tawarkan diri untuk menjadi pengantara perpaduan Melayu Islam. Apa respon Umno dan Pas, dan parti yang mewakili majoriti orang Islam yang lain? Apakah Umno dan Pas akan merasa tergugat dengan kewujudan orang seperti Hasan Ali? Maklumlah, politik hari ini, jika ada ‘orang baru’ yang berkaliber dan berkelulusan, kita merasa terancam. Wahai umat seagama! lupakanlah yang lain, utamakan Islam. Islam mesti didaulatkan, barulah Melayu akan berdarjat. Jika Islam tidak terdaulat, Melayu akan merempat. Jangan sampai tunggu kehancuran ini.

Pas perlu menganggap orang seperti Hasan Ali sebagai aset, jika benar mereka sayangkan Islam, walaupun ada yang menganggap beliau sebagai duri dalam daging. Malah Pas perlukan ramai orang seperti ini, bukannya menjadi pak turut sahaja seperti yang selalu dirujuk kepada Umno. Jika Pas pun tidak dapat menerima dan meraikan perbezaan ini, janganlah Pas bercakap banyak lagi tentang Islam. Ambillah teladan bagaimana Rasulullah dan para sahabat meraikan perbezaan. Sehinggakan seorang anak kecilpun dibenarkan menegur dan pendapat itu diterima.

Wahai orang Umno dan Pas, kamu adalah sebangsa dan seagama, sepatutnya kamu bangsa yang tidak mempunyai masalah kerana menyembah Allah yang satu, Nabi yang satu, Quran yang satu, Syariat yang satu, Kiblat yang satu, Kalimah yang satu, Ibadah yang satu dan banyak lagi yang satu. Persoalan, kenapa dalam banyak perkara kita tidak bersatu? Amat malang sekali, jika satu bangsa seagama hancur, hanya kerana emosi yang menghantui diri, sedangkan mereka mempunyai terlalu banyak persamaan.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

 (Sinar Harian 19 Dis 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan