Jumaat, 22 Februari 2013

Kenapa ancaman terhadap Islam tidak menjadi agenda utama gerakan Islam?

Kenapa pluralisme, liberalisme, Syiah, Kristianisasi dan LGBT tidak menjadi agenda utama kebanyakan gerakan Islam di Malaysia?

Saban hari masyarakat didedahkan oleh pelbagai pihak tentang bahaya yang mengancam Islam dan Melayu di Malaysia tetapi malangnya tidak banyak gerakan Islam yang memperkatakan isu tersebut sebagai agenda penting untuk menyelamatkan Islam dan Melayu di negara ini. Adakah mereka merasakan bahawa serangan pluralisme, liberalisme, Syiah, Kristianisasi dan LGBT tidak mengancam Islam dan Melayu atau aliran ini boleh memberi sedikit keuntungan dalam situasi sekarang yang memerlukan sokongan undi menjelang pilihanaraya umum ke-13? Walaupun dinyatakan oleh beberapa orang pimpinan gerakan Islam ajaran atau aliran di atas tidak bertepatan dengan Islam tetapi gerakan secara besar-besaran berskala besar tidak diadakan untuk memberi penerangan kepada ummat tentang bahaya aliran tersebut.

Syiah jelas bertentangan dengan Islam. Telah disuarakan oleh beberapa orang pimpinan gerakan Islam tentang kerosakan Syiah bahkan telah dikeluarkan pameran Syiah dalam Ekspo Perdagangan tetapi apakah tindakan seterusnya untuk menerangkan bahaya Syiah kepada umat Islam di Malaysia. Begitu juga dengan aliran dan pemikiran yang lain, walaupun kedengaran sayup-sayup diperkatakan tentang kebatilan ajaran atau aliran tersebut tetapi gerakan secara tersusun untuk memerangi aliran atau ajaran tersebut tidak kelihatan. Adakah masih diperkatakan mereka sebagai mad’u yang perlu diajak secara berhikmah walaupun mereka telah menyerang Islam begitu tersusun dan berkesan atau mengharapkan sokongan mereka dalam pilihanraya dan mengharapkan sokongan dalam perjuangan keadilan untuk rakyat? Maka dicanang sebagai perjuangan keadilan Islam bersama dengan mereka yang tidak menyokong perjuangan Islam.

Adakah keadilan Islam akan tercapai jika ada rakan pimpinan tertinggi yang jelas membawa agenda liberalisme dan pluralisme dan menyatakan secara jelas Malaysia tidak akan dijadikan negara Islam kecuali dalam beberapa perkara yang bersangkutan dengan nikah kahwin dan pusaka?Adakah sudahkah cukup dan memadai kita laung-laungkan perjuangan kita adalah perjuangan Islam dan akan melaksanakan pemerintahan Islam yang tulen sedangkan mereka yang bersama kita tidak pernah menyuarakan untuk melaksanakan Islam. Adakah sudah cukup dengan melihat beberapa pimpinan bukan Islam bercakap tentang keadilan dan iktibas beberapa perkataan dari hadis Rasulullah larangan rasuah maka dikatakan mereka telah berminat dengan Islam dan menyokong penubuhan negara Islam. Hadis Rasulullah telah menyatakan maksudnya; “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka mengakui tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah bukan hanya dengan menyebut beberapa perkataan Arab maka kita mengatakan mereka berminat dengan Islam”.

Gerakan Islam perlu kepada fikrah yang jelas, wasilah yang sahih dan matlamat yang betul dalam melaksanakan amanah dakwah walaupun terpaksa melalui tempoh yang panjang. Kemenangan adalah janji Allah setelah syarat-syarat kemenangan telah mencukupi. Janganlah kerana ingin mengejar kemenangan yang berbentuk sementara di atas gelanggang ciptaan musuh Islam maka kita mendakwa KEMENANGAN itu adalah segala-galanya dalam perjuangan Islam sedangkan medan itu hanyalah antara wasilah untuk menyampaikan Islam.

Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir Yang Dipertua
Majlis Syura ISMA
* Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan