Rakan blogger Hj Ariffin mencadangkan
supaya Melayu berguru dengan Cina jika mahu berjaya dalam politik. Katanya, banyak
yang Umno dan Pas boleh pelajari daripada cara, ketegasan dan kesepakatan orang
Cina dalam politik. Misalnya;
1. Menolak jawatan dalam kerajaan. Lihat
bagaimana MCA dan Gerakan sepakat tidak mahu terima jawatan dalam kabinet jika
parti mereka kalah teruk. Malah MCA sampai sanggup memecat ahlinya hanya kerana
terima jawatan exco dalam DUN Johor.
2. Mempertahankan kepentingan bangsa,
bahasa dan kebudayaan Cina. Lihat bagaimana MCA, Gerakan dan DAP walau pun
tidak dalam kem yang sama, sepakat bangun mempertahankan sekolah vernakular SJKC.
3. Membantah Hudud. Lihat bagaimana DAP
walau pun sama kem dengan Pas, menyokong bantahan MCA dan Gerakan terhadap
cadangan mengHUDUDkan negara jika Pas berjaya menerajui Putrajaya.
4. Membantah penutupan Jonker’s Walk. MCA sungguh pun dalam
satu kelambu dengan Umno senada dengan DAP, mengecam tindakan yang diambil oleh
Ketua Menteri Melaka.
Nasihat saya sebelum mengulas lanjut,
jangan pandang rendah pada kekuatan dan kebaikan bangsa sendiri. Terlalu banyak
untuk dibicarakan. Cuba buat muhasabah dan rujuk sejarah, tentu ada jawapannya.
Melekehkan bangsa diri sendiri bermakna memandang rendah diri sendiri.
Pada pendapat saya, isu yang
dibangkitkan Hj Arifin, tidak berhenti setakat itu. Masih ingat lagi kita kempen-kempen
PRU13? Bagaimana bukan Islam begitu berani menghina cuti umum pada hari jumaat,
salon berasaskan jantina, larangan arak, zina dan judi dan sebagainya. Saya
tidak pernah lupa penghinaan sebegini, hanya kerana mahu menyindir PAS.
Ini belum termasuk betapa beraninya
peguam mereka menghina Islam di mahkamah. Lihatlah betapa bersatunya mereka
menghalang Majlis Agama Islam dalam isu penentuan agama anak-anak jika ibu bapa
memeluk Islam. Mereka tidak mahu sama sekali anak-anak tersebut diIslamkan.
Boleh dikatakan semua Mufti bersependapat,
Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah
Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai
untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh
dipertikaikan.
Keputusan Kabinet 2009 bahawa agama
kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh
diguna pakai kepada penganut Islam. Menurut Mufti Selangor, dari segi hukum
hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan
ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau
bapanya yang Islam. Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak,
maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa. Perkara ini
telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan dan dipersetujui Majlis Raja-Raja.
Mufti Perak menyatakan, Islam merupakan
agama rasmi dan negara ini terikat dengan undang-undang Islam. Peruntukan
menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam yang memerlukan
persetujuan salah seorang ibu bapa sudah dipakai sejak sekian lama. Mengapa
perkara ini dibangkit sekarang? Undang-undang itu dibuat berdasarkan
undang-undang Islam dan tidak boleh dipertikai!
Amat malang lagi, bila ada pemimpin Umno
yang berjawatan menteri tidak bersetuju dengan peruntukan yang memihak kepada
Islam. Menteri ini jugalah yang turut memberi amaran kepada ketua pemimpin negeri
Melaka (Umno) supaya mengkaji balik keputusan mahu menutup Jonker’s Walk.
Memetik kata-kata blogger itu lagi, kewujudan
Jonker’s Walk itu tidak sedikit pun
membawa kebaikan kepada orang Melayu Umno sendiri. Kebelakangan ini ramai pemimpin
Umno (Menteri) sudah menjadikan orang Melayu sendiri naik meluat. Mereka
kononnya mahu menjadi jaguh kepada kaum bukan Melayu tanpa menyelidiki fakta
yang sebenar.
Faktanya bukan Jonker’s Walk yang ditutup, tetapi membuka laluan Jonker’s Walk kepada kenderaan, supaya
tidak berlaku kesesakan bandar Melaka berpanjangan. Alasan ini amat kukuh.
Bayangkan jika Jonker’s Walk itu
milik Melayu. Apakah menteri itu akan tampil membela?
Ini tidak, pantang hak ultra kiasu
disentuh. Heboh satu dunia bagi menunjukkan betapa mereka teraniaya dan
kejamnya Umno.
Nasihat saya kepada orang Melayu Islam
dan Umno, dalam memahami semua isu ini, perlu mengaji dan belajar dahulu,
beberapa asas dan aspek agama Islam. Paling kurang, bacalah kitab fiqh awlawiyyat atau buku memahami
keutamaan oleh Yusuf al-Qaradawi supaya tidak jadi jahil murakab.
Bukan apa, saya cukup bimbang dengan
trend politik hari ini, kerana mahu sangat menjaga hati orang lain, hati
sendiri terluka. Tidak ada siapa mahu mengubatnya. Akhirnya, luka tersebut
menjadi semakin mendalam. Kebimbangan saya, luka mendalam itu tidak dapat
disembuh dengan apa jua ubat selepas itu.
Kesimpulan, tidak payah berguru dengan
Cina untuk bersatu, bergurulah pada bangsa sendiri berteraskan Islam. Saya pasti ada jawapannya.
Nabi Muhammad SAW, tidak pula berguru kepada orang lain, walaupun buta huruf. Baginda
hanya berpandukan kepada wahyu Allah. Hasilnya, Rasulullah dan umatnya menjadi
orang hebat.
Hari ini, Nabi telah tinggalkan kepada
kita wahyu Allah (al-Quran) dan sunnahnya. Rujuklah sepenuhnya. Saya yakin kita
akan menjadi hebat. Ini tidak, hak sendiri yang begitu bermakna tidak dirujuk,
tetapi terlalu obsess dengan orang lain.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan