Rabu, 23 Mei 2012

Ruginya Islam dan Melayu, apabila mereka tidak bersatu.....!!!



Ke mana saya pergi, untuk berceramah, saya lihat rumah ibadat bukan Islam tumbuh macam kulat. Ada sahaja tombol yang naik, yang kecil menjadi besar, yang rendah menjadi tinggi, yang ditinggalkan, diperbaharui dan macam-macam perubahan yang berlaku. Pergilah ke manapun, di situ saudara akan terlihat apa yang saya katakan.

Lebih menyakitkan lagi, jalan utama terpaksa dilencongkan kerana memberi laluan kepada pembinaan rumah berhala. Apakah ini wajar? Berapa banyak lagi rumah ibadat diperlukan sedangkan yang sedia ada sudah mencecah 200,000 berbanding surau masjid dalam lingkungan 30 ribu. Jika bilangan masjid surau mencecah ratusan ribu atau terletak di tanah haram, itu munasabah, kerana Islam adalah agama persekutuan. Lagi pula majoriti rakyat di negara ini beragama Islam.

Semua ini begitu jelas berlaku selepas Pilihan Raya Umum 12, 2008. Perpecahan umat Islam mengakibatkan orang lain mengambil kesempatan, menangguk di air yang keruh. Yang belum ada, diada-adakan, yang sudah ada, ditambah dan diperbaharui. Justeru, saya amat mengharapkan dengan keluarnya orang Melayu daripada parti ultra kiasu Cina itu, dapat membuka mata kita semua agar umat Islam bertaut kembali. Dalam artikel kali ini, izinkan saya mengupas sebahagian sahaja, ruginya Islam dan Melayu, apabila mereka tidak bersatu.

Kedudukan agama Islam semakin terancam. Orang bukan Islam mahukan semua tuntutan Inter Faith Commission (IFC) dipenuhi sepenuhnya (rujuk artikel saya terdahulu). Agama Islam sebagai agama persekutuan tidak lagi dihormati, sehinggakan majlis doapun dipertikaikan, apatah yang lain. Kes-kes yang berkaitan dengan agama Islam, mudah sahaja dibawa ke mahkamah sivil. Misalnya, isu kalimah Allah yang mahu digunakan sewenang-wenangnya, bibel bahasa Melayu, kes murtad, perebutan mayat saudara baru dan sebagainya. Mahkamah syariah seolah-olah tidak lagi dihormati, apatah lagi untuk dirujuk.

Selain itu, peruntukan untuk rumah ibadat antara Islam dan bukan Islam sudah menjadi sama rata. Terbaharu, di Selangor, ahli Majlis tidak akan meluluskan pembangunan taman perumahan baharu, selagi tidak memenuhi syarat iaitu setiap taman perumahan mesti ada rumah ibadat semua agama. Apakah makna ini semua? Adakah keadilan bermakna seorang sebiji?  

Berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, saya sudah tidak nampak masih ada kewujudannya dalam bentuk realiti semasa. Boleh dikatakan apa jua keistimewaan mereka yang bergelar Melayu dan bumiputera telah pun ada pada mereka yang selainnya.  Lihatlah nanti isu kemasukan ke universiti dan pemberian biasiswa. Begitu juga isu lesen dan perkhidmatan awam. Walaupun kita mudah dapat, tetapi manfaatnya dirasai oleh siapa?

Kuasa politik Melayu Islam semakin terhakis. Tuntutan demi tuntutan semua parti komponen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa mahukan keadilan berasaskan formula sama rata dan sama rasa. Dahulu kuasa politik Melayu Islam mendominasi, bukan Melayu tidak minat kepada kuasa, tetapi lebih kepada bisnes. Hari ini, mereka mahukan kedua-duanya, kuasa dan bisnes. Mereka sentiasa mahukan kerusi tambahan. Siapa yang akan berkorban? Tidak cukup dengan itu, apa juga keistimewaan orang Melayu, juga perlu ada padanya, walaupun dijamin oleh perlembagaan.

Dalam isu pendidikan, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama semakin terhakis. Peruntukan sudah menjadi sama rata, walaupun ada sedikit kelebihan pada sekolah kebangsaan. Sekolah vernakular semakin mendapat tempat, terutama dalam isu penempatan guru-guru. Kita lebih mendengar kata-kata NGO daripada pakar pendidikan. Kerajaan seolah-olah tidak boleh menentukan masa depan pendidikan. Seolah-olah ia berada di tangan NGO.

Kedudukan Bahasa Melayu semakin terancam, manakala bahasa Inggeris dan bahasa ibunda semakin mendapat tempat. Melihat kepada banner memprotes tindakan pihak berkuasa di Taman Desaria, Sg Ara atau di mana-mana sahaja protes yang majoritinya bukan Melayu. Bahasa Melayu langsung tidak mendapat tempat di hati mereka. Tinjaulah iklan-iklan yang berada di sekeliling.

Dalam bidang ekonomi usahlah dicerita. Bilangan orang Islam yang kaya masih statik. Yang kaya sibuk kawin artis. Orang Melayu semakin ramai diperalatkan. Pegawai kerajaan yang telah pencen bergelar Tan Sri dan Datuk, dipergunakan bagi mendapat tender sana sini. Jawatan pengerusi syarikat hanya permainan silap mana sahaja. Mereka langsung tidak berperanan. Hanya datang pejabat sekali sekala untuk bermesyuarat mendapatkan elaun.

Begitu juga dalam bidang sosial. Tidak perlulah dibincangkan isu gejala sosial. Lihat sahaja sektor makanan terus dikuasai oleh bukan Melayu. Saya difahamkan kedai-kedai makan yang berbunyi Melayu dan Islam sudah tidak lagi dipunyai oleh mamak atau orang Islam, tetapi kepunyaan bukan Islam. Nama-nama Islam dan pekerja Islam dari India digunakan sewenang-wenangnya untuk melariskan produk.

Banyak lagi yang boleh dibincang dalam ruangan terhad ini. Justeru, saya ingatkan, Pas tidak perlu menyaingi Umno  untuk menarik 100,000 anggota dalam perhimpunan parti itu di Kedah pada 1 Jun nanti sebagai respon kepada perhimpunan sambutan ulangtahun Umno yang berakhir minggu lalu. Umat Islam tidak perlu bersaing untuk ‘menunjukkan kehebatan dan kekuatan’ dalam perkara politik yang membawa perpecahan. Tetapi biarlah kita bersaing dalam perkara yang membawa kebaikan seperti kekuatan ekonomi, pendidikan dan mengembalikan semangat jihad. Apalah ertinya angka yang besar dan ramai sekiranya umat Islam merempat dan menagih simpati di bumi sendiri. Kuantiti tidak penting, tetapi kualiti jauh lebih penting. Itu akan menjamin masa depan agama bangsa dan negara. Justeru, fikirkanlah.

Pas dan Umno perlu membuang prasangka buruk antara satu sama lain. Sekarang ini adalah masa bekerja untuk Islam. Berpolitiklah secara matang. Buat perancangan dan rangka strategi. Lupakanlah yang lain-lain, termasuk dendam kesumat. Peluang dan kesempatan tidak datang selalu. Saya amat bimbang, jika peluang dan kesempatan itu tidak datang lagi. Kenalilah rakan seagama dengan rakan tidak seagama. Mana satu yang boleh dipercayai? Pemimpin Melayu ultra kiasu telahpun keluar daripada parti ultra kiasu Cina tersebut kerana beliau sudah celik mata. Apakah kita masih buta? 
 
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
 
(Sinar Harian 21 Mei 2012)
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan