Sabtu, 18 Ogos 2012

Sultan Mizan : Umat Islam perlu jauhi persengketaan..



KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu umat Islam menjauhkan diri daripada persengketaan, perselisihanpendapat dan pandangan sesama sendiri.

Titah baginda, ini kerana ia boleh menyebabkan terbuka ruang dan peluang bagi musuh-musuh Islam mencampuri urusan pentadbiran negara dan memecahbelahkan umat Islam.

Setiap perpecahan yang berlaku walaupun atas alasan perjuangan, tidak akan menguntungkan sesiapa, titah baginda dalam perutusan sempena Aidilfitri yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Malah, titah baginda sejarah Islam telah menunjukkan perpecahan menjadi sebab kepada runtuhnya kekuatan umat Islam sebagaimana yang berlaku terhadap beberapa kerajaan Islam sebelum ini.

Baginda bertitah sejarah ini seolah-olah berulang kembali dan dapat disaksikan di beberapa negara Islam seperti Syria dan Mesir.

"ALLAH S.W.T telah memberi peringatan mengenai akibat perpecahan sebagaimana firmanNya dalam al-Quran yang bermaksud:

"Dan taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasulnya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan atau berselisih faham mengenai sesuatu isu (hingga menyebabkan kamu tidak mampu mengekalkan perpaduan) kerana yang demikian menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dan cekal hati) sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar."

Baginda juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa mengamalkan sikap saling bermaaf-maafan, ziarah-menziarah antara sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Titah baginda amalan baik ini bukan hanya tertentu pada bulan Syawal tetapi diteruskan sepanjang masa kerana merapatkan hubungan silaturrahim antara sesama Islam merupakan kunci kepada kekuatan ummah.

Baginda juga menyeru rakyat agar menginsafi diri dan bersyukur dengan nikmat kedamaian dan kesejahteraan ALLAH kurniakan kepada umat Islam.

"Janganlah kita lupa bersedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, orang tua di rumah kebajikan, penghuni hospital yang tiada saudara mara dan warga orang kurang upaya dan lain-lain lagi," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah Islam telah meletakkan perpaduan umat sebagai asas terpenting yang perlu dipelihara dan diberi perhatian dalam menjaga dan
mempertahankan keselamatan serta kemakmurah negeri dan negara.


Baginda menyeru muslimin dan muslimat supaya sentiasa menilai kembali sejauh mana mereka berusaha memperkukuhkan perpaduan bagi melahirkan umat yang menepati kehendak al-Quran.

Baginda berharap semua umat Islam menghiasi Syawal dengan lafaz tasbih, tahmid dan takbir terhadap kebesaran ALLAH s.w.t.  Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan