Jumaat, 20 Januari 2012

Karpal diarah bela diri.......




Tuduhan hasut: Karpal diarah bela diri.......

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan peguam Karpal Singh membela diri terhadap pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada sidang akhbar pada 2009.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Ma'arop sebulat suara membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Pengerusi DAP itu bagi pertuduhan menghasut pada akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri.

Hakim Ahmad memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Panel itu yang turut dianggotai dua Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner dan  Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menetapkan 9 Februari bagi sebutan kes Karpal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim itu, dalam penghakiman bertulisnya yang mengambil masa dua jam untuk membacakannya, berkata apa yang dikatakan oleh Karpal dalam sidang akhbar itu ialah rasa tidak puas hati terhadap Sultan Perak.
Hakim Ahmad berkata kenyataan Karpal itu telah mencemarkan kehormatan Sultan dan juga telah mengakibatkan pertembungan ketamadunan antara hubungan rakyat dan raja.

Karpal dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 daripada pertuduhan mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama di sini antara 12 tengah hari dan  12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad berkata panel tidak menerima hujahan Karpal bahawa Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948, yang menetapkan bahawa tindakan mempersoalkan hak dan keistimewaan Raja adalah satu kesalahan, adalah tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pada pendengaran rayuan itu pada Julai tahun lepas, Karpal memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan Seksyen 3 (1)(f) dan mengisytiharkan peruntukan itu tidak mengikut perlembagaan kerana menurutnya Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan membenarkan litigan mendakwa ketua negeri di mahkamah menerusi cara semakan kehakiman kerana mereka termasuk dalam definisi "pihak berkuasa awam".

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam rayuan itu selama dua hari pada Julai tahun lepas, panel itu menangguhkan keputusan mereka.

Hakim Ahmad, dalam penghakimannya berkata semakan kehakiman tidak boleh dibuat terhadap kuasa Sultan
Beliau berkata kenyataan Karpal dalam sidang akhbar itu bahawa 

"Sultan tidak menghormati undang-undang dan Sultan telah bertindak secara ultra vires mengikut Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, telah mewujudkan kebencian.
Perkara 16 (6) adalah berkaitan kuasa sultan untuk melantik menteri besar.

Hakim itu berkata pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa apa yang diperkatakan itu telah menimbulkan keadaan huru-hara, dan menurutnya adalah tidak perlu untuk menunjukkan niat dalam hasutan itu.

Hakim Ahmad berkata apa yang dinyatakan oleh Karpal tidak termaktub dalam kebebasan bersuara dan menurutnya sebagai peguam kanan yang dihormati dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya tahu sempadan dan batasan kebebasan bersuara.
Katanya juga terdapat 103 laporan polis dibuat terhadap Karpal berhubung kenyataannya itu.

Antara yang hadir di mahkamah yang penuh sesak itu sebagai tanda sokongan kepada Karpal ialah anggota keluarga peguam itu, anggota DAP termasuk Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, bekas pemimpin Dr Chen Man Hin, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Po Kuan.

Mewakili Karpal ialah empat anaknya iaitu Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, barisan peguam R.S.N Rayer, Ramesh Sivakumar  dan Teoh Lib Peng. Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya
Noorin Badaruddin dan Najib Zakaria.


Peguam Rajpal Singh adalah peguam pemerhati Majlis Peguam.
Di luar mahkamah, Karpal berkata, beliau akan merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan walaupun menurutnya terdapat autoriti mahkamah menyatakan sekiranya dipanggil membela diri, ia tidak boleh dirayu kerana ia bukan perintah muktamad.

Katanya wujud diskriminasi dalam perkara itu kerana sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya, pihak pendakwaan berhak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana keputusan mahkamah
rayuan akan dianggap sebagai perintah muktamad.


Beliau berkata sama ada tertuduh tidak mempunyai hak untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan sebaik sahaja dipanggil membela diri, itu boleh menjadi intipati bagi rayuan.

"Saya menerima keputusan itu pada ketika ini. Kami akan teruskan ke Mahkamah Persekutuan dan kita lihat apa berlaku di sana," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan