Isnin, 16 Januari 2012

PESANAN DARI USTAZ RIDHUAN TEE ABDULLAH BUAT PEMIMPIN UMNO &PAS...




Kesali Kejahatan,Jangan Takbur

Nampaknya semua begitu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) dalam perjalanan menuju Putrajaya, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti. Barisan Nasional sudah pasti akan berhempas pulas mempertahankannya.

Manakala, parti pembangkang, terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ultra kiasu, kelihatan begitu ghairah. Ingatan saya, jangan melebihi kuasa TUHAN. Berjaya atau tidak, itu bukan kuasa kita. Serahkan kepada YANG MAHA ESA.

 Pas awal-awal lagi menasihatkan rakan-rakan sekutunya, supaya memberikan tumpuan untuk “menumbangkan” Umno-Barisan Nasional (BN) dan bukan memikirkan siapa calon PM, sekiranya pemimpin nombor satu PKR itu dihukum penjara atau tidak.

Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menegaskan perhimpunan aman 901 bukan semata-mata kerana mahu membela Anwar Ibrahim tetapi sebagai “mesej penting” kepada Putrajaya. Jelas sekali, Pas pun agak tidak selesa dengan PKR dan ultra kiasu yang bernafsu besar.

Pada mereka, pemimpin mereka semua layak, yang tidak layak hanya Pas. Ultra kiasu tidak suka orang berserban, berjubah dan berjuang untuk Islam.

Sebab itulah kenyataan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa langsung tidak disokong apabila mereka berdua mengatakan Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz adalah calon paling layak menjadi PM jika pemimpin PKR itu tidak dibebaskan.

PKR dan ultra kiasu terdiam, cepat-cepat menasihatkan supaya tidak dibincangkan perkara tersebut. Nampak atau tidak, strategi mereka mengetepikan Pas. Bacaan saya, jika ditakdirkan pemimpin nombor satu PKR itu masuk penjara, alternatif lain masih lagi bukan Pas, tetapi pemimpin nombor dua PKR dan mungkin juga ultra kiasu sendiri.

Ternyata parti politik ultra kiasu ini langsung tidak menghormati Pas. Sedangkan dari segi senioriti, Pas lah yang paling layak, dan paling banyak berjasa.

Pas bukan sahaja lebih lama dari segi usianya, malahan pemimpin mereka lebih berakhlak daripada PKR dan ultra kiasu, kecuali beberapa tokoh tertentu. Saya tidak mahu kaitkan dengan Muslimat Pas yang beraksi berani semasa Perhimpunan 901 berdekatan kompleks mahkamah.

Nampaknya Muslimat Pas semakin pandai menyanyi, termasuk bersalaman dengan orang lelaki, sejak berpakat dengan pakatan sekular tersebut. Saya terkejut beruk, nasib baik tiada lemah jantung.

Apakah benar jangkaan saya selama ini, semakin liberal Pas, semakin mendapat sokongan. Sebaliknya, semakin cenderung Umno kepada Islam, semakin dapat mengekalkan Putrajaya.

Sekiranya jangkaan saya ini benar, Umno tidak ada pilihan lain, kembalilah kepada Islam. Biarkan Pas dengan cara barunya itu. Kita lihat hasilnya.

Apa pun, perbuatan Muslimat Pas, amat tidak manis dan tidak sedap dipandang mata. Apatah lagi dengan memaki “mampus Umno”. Jika “Umno mampus”, apakah Pas yakin akan terus hidup tanpa Umno? Jangan begitu wahai Muslimat Pas! Di manakah kelembutan anda sebelum ini? Jangan kerana terlalu ghairah ke Putrajaya sehingga hilang adab sopan dan tata susila Islam.

Hakikatnya kini, pemimpin nombor satu PKR telah dibebaskan oleh mahkamah. Sudah tentu semua mata tertumpu kepada beliau. Kepimpinan Pas janganlah ada yang bercita-cita untuk menjadi PM.

Timbalan PM pun, pada fikir saya masih sukar jika berjaya ke Putrajaya. Kecualilah diwujudkan tiga jawatan Timbalan PM. Terus-terang, pembebasan pemimpin tertinggi PKR, bukan bermakna beliau tidak bersalah.

Bukti-bukti untuk membuktikan beliau bersalah tidak cukup. Hanya beliau dan ALLAH sahaja yang mengetahui. Melalui pengamatan saya, agak sukar untuk menumbangkan BN. Paling teruk pun, majoriti BN akan semakin menipis.

Untuk ultra kiasu menang mudah jauh sekali. Namun, mereka nampak begitu bongkak, takbur dan ujub. Nasihat saya, kejahatan yang dikesali, lebih baik daripada kebaikan yang ditakburi. Hari ini, saya amati, kita jarang kesali perbuatan terkutuk yang banyak dilakukan.

Kita amat takbur dengan sedikit kebaikan yang telah dicurahkan. Apakah kita memberi jaminan bahawa jika ultra kiasu Melayu ini memerintah, mereka akan lebih bersih daripada Umno sebab mereka dahulu pun adalah orang Umno juga?

Saya bimbang, keghairahan akan menjadikan mereka memerintah lebih teruk daripada Umno. Sebab itu, saya tidak pernah percaya dengan parti ultra kiasu ini. Ingatlah, kekuasaan atau jawatan selalu bersifat sementara, ibarat roda berputar.

Kita tidak boleh menongkat langit, kecuali PENCIPTA yang menjadikan maya pada ini. Hari ini, apa yang sepatutnya kita lakukan dengan mencintai atau menyayangi sesama kita, sebab kita semua seagama.

Saya teringat kepada kata-kata, the most important thing in any relationship is not what you get, but what you give. Ingatan saya kepada Pas dan Umno, the best way to destroy an enemy is to make him a friend. USTAZ
RIDHUAN TEE ABDULLAH

  P/S : Ustaz Ridhuan Tee Abdullah tahu apa yang sebenarnya berlaku. Dia tahu apa perancangan puak yang membenci Islam memandangkan beliau pernah berada dan bergaul dengan golongan bukan Islam. Walaubagaimanapun pendedahan yang dibuat mendatangkan ketidak selesaan sesetengah pihak yang menyokong golongan ultra kiasu tersebut. Tidak mengapa lah Ustaz, terusnya perjuangan dan lakukan pendedahan yang akan memberi kebaikkan kepada ummat kita sendiri. Teguran teguran yang dibuat sedikit sebanyak membangkitkan kemarahan mereka. Tidak mengapa, kemarahan tersebut seterusnya mendorong mereka untuk lebih berhati hati dan memperbaiki diri (InsyaALLAH). Sekaligus seruan dakwah sudah dilakukan walaupun dengan cara tersebut.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan