Selasa, 11 September 2012

Teka-teki isu Nasha selesai, selepas ini...?


 ANALISIS - Majlis Syura tidak bincang isu Nasharudin Mat Isa. Tetapi difahamkan ada disebut sepintas lalu.

Sinar Harian Online difahamkan anggota Majlis Syura mengambil pendirian bersama imej parti perlu dipelihara. Fokus utama buat masa sekarang menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PUR13).


Ramai melihat Pas mengambil langkah selamat untuk ‘tunggu dan lihat’ terhadap nasib bekas Timbalan Presiden itu apabila beliau tidak dikenakan sebarang tindakan oleh Majlis Syura parti itu, malam kelmarin.


Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya, Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Pas mengekalkan Nasharudin kerana beliau golongan intelektual dan profesional dalam parti itu.


Menurutnya, pemecatan Nasahrudin akan memberikan kesan kepada dalaman dan luaran imej parti kerana Nasharudin mempunyai pengikut sendiri.

“Orang luar akan melihat kredibiliti parti itu. Beliau juga adalah aset kepada parti.

“Ketiadaan Nasharudin juga akan dijadikan modal politik untuk menunjukkan kelemahan dalam Pas. Oleh itu, Pas membiarkan Nasharudin bersama parti itu untuk mengurangkan spekulasi,” katanya.


Samsul Adabi berkata, Pas mengekalkan Nasharudin untuk mengelakkan tamparan (kontroversi) kedua kepada Pas apabila tindakan mereka sebelum ini memecat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Mohamed Ali beri kesan besar kepada imej parti itu.


Sementara itu, Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hasan berkata, Nasharudin penting kepada Pas menyebabkan mereka sangsi untuk menangani kes melibatkan pemimpin itu walaupun tindakan beliau bertentangan kehendak parti.


“Logiknya, tindakan perlu diambil terhadap Nasharudin tetapi diketepikan demi kepentingan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Apa jua tindakan terhadap Nasharudin akan merugikan Pas.


“Nasharudin mempunyai banyak pengikut. Isu ini menunjukkan kepimpinan Pas sanggup undur belakang melanggar prinsip sendiri asalkan bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13,” katanya.


Beliau berkata, Pas juga dilihat tidak mahu hilang populariti dan bermain tarik tali kerana secara logiknya Nasharudin perlu menerima hukuman.


“Dalam Umno, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pecat ahli parti yang sabotaj Umno. Itu tindakan tegas. Kepimpinan Pas lemah untuk menangani isu ini kerana tidak punyai prinsip,” katanya.


Azmi berkata, mustahil isu Nasharudin tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura, kerana Nasharudin penting kepada parti.

 “Saya tidak berada di situ tetapi saya pasti isu Nasharudin dibincangkan dalam Majlis Syura. Mereka berbelah bahagi untuk mengambil tindakan terhadap Nasharudin dan kemungkinan perbincangan dilakukan tetapi kata sepakat tidak dicapai. Oleh itu mereka katakan tidak terdapat dalam agenda mesyuarat mereka.

“Kemungkinan mereka bertindak mengekalkan Nasharudin sebagai strategi untuk mengelakkan isu ini.


“Ketiadaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mesyuarat itu dan menyatakan isu tidak dibincangkan, menunjukkan Pas cuba mengelakkan diri daripada menangani isu Nasharudin secara berdepan,” katanya.


Nasharudin masih lagi ahli Pas kerana mesyuarat bulanan Majlis Syura Pas yang berlangsung kelmarin tidak membincangkan isu Ahli Parlimen Bachok itu.


Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura hanya membincangkan tentang persediaan Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sahaja.


Nasharudin masih ahli Pas dan kekal sebagai Ahli Majlis Syura.


Pemerhati politik telah menjangkakan bahawa Majlis Syura Pas, tidak akan menyentuh isu bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa yang sebelum ini lantang menyuarakan agar Pas mempertimbangkan semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud.


Mengulas isu yang sama, Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM)  berkata, intipati mesyuarat tersebut tidak mahu menyentuh isu Nasharudin kerana terdapat agenda yang lebih penting seperti calon PRU13, yang ramal oleh beberapa parti politik pada bulan November ini.


"Mereka tidak mahu memecat Nasharudin, jika beliau dipecat, kemungkinan Umno akan mengambil Nasharudin sebagai ahli mereka dan akan menjadi mata-mata untuk Umno," ujar  Azizuddin.


Tambah beliau, Pas sudah mengkaji perkara ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada untuk menjatuhkan hukuman kepada Nasharudin atau tidak kerana sebarang keputusan ia akan memberikan kesan terhadap parti tersebut.


"Bagi pendapat saya, pucuk pimpinan Pas sudah meramalkan apa yang bakal berlaku dan kesan terhadap parti jika sebarang tindakkan diambil terhadap Nasharudin," tambah Azizuddin.


Apabila ditanya sama ada Nasharudin bakal bertanding di parlimen Bachok pada PRU-13, ramalan yang diberikan adalah beberapa kemungkinan akan berlaku.


"Nasharudin kemungkinan tidak akan bertanding di Parlimen Bachok, pucuk pimpinan Pas mungkin akan meletakkan beberapa calon di tempat kelahiran sendiri, seperti Nasharudin kemungkinan akan bertanding di Kedah serta lain-lain calon yang berkemungkinan akan pulang ke kampung sendiri," ujar beliau.


Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata: "sebarang tindakan dibuat terhadap beliau (Nasharudin) akan memberi kesan sangat besar."


"Ini kerana dalam hal ini, Nasharudin bukan berseorangan, malah dia mempunyai pengikut yang ramai dalam parti tersebut," ujar Ahmad Atory.


Tambah beliau, kemungkinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memikirkan tentang kesetiaan Nasharudin dalam parti.


Beliau seterusnya berkata, "Nasharudin tak dipecat dari parti, namun besar besar kemungkinan beliau tidak akan dicalonkan dalam pilihan raya."


"Susah kita nak lihat orang yang betul -betul memperjuangkan Islam, beliau (Nasharudin) mempunyai ramai pengikut dan tidak mustahil BN akan menarik beliau untuk diletakkan mana - mana kerusi kerana BN akan meletakkan calon 'winnable candidate' untuk memenangi sesebuah kerusi di pilihan raya," ujar beliau.


Beliau menjangkakan keputusan mengenakan tindakan terhadap Nasharudin kemungkinan akan diputuskan selepas PRU13 kelak.

 
Teka-teki isu Nasha selesai, selepas ini...?

Selasa, 4 September 2012

'Tanda Putera' : Shuhaimi Baba Hanya Tunggu Tindakan Lim Kit Siang






PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan menanti tindakan susulan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya gara-gara filem itu.

Shuhaimi atau mesra disapa Shumi berkata, pada waktu ini pihaknya enggan memikirkan mengenai isu tersebut sehingga hasrat yang disuarakan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu untuk mengambil tindakan benar-benar dilaksanakan.

“Kami hanya tunggu dan lihat sahaja buat masa ini. Kini kita lebih relaks dan bersabar dalam menghadapi isu itu walau apa sekali pun cerita yang ditimbulkan.

“Kami tidak mahu memikirkan sangat mengenai perkara itu melainkan pihaknya (Lim) benar-benar meneruskan tindakan undang-undang seperti yang dikatakan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Kontroversi berkenaan bermula apabila laman Facebook Tanda Putera memaparkan gambar Lim “dikasari” dengan kapsyen yang mendakwa ia diambil selepas beliau kencing di tiang bendera kediaman Menteri Besar Selangor di Kuala Lumpur sebelum rusuhan kaum 13 Mei 1969 berlaku.

Gambar itu bagaimanapun telah dikeluarkan daripada laman itu pada Julai lalu setelah krew produksi filem berkenaan menerima ugutan dan ancaman.

Lim dalam kenyataannya sebelum ini berkata, gambar berserta kapsyen yang bertulis “Lim Kit Siang telah kencing di bawah tiang bendera Selangor yang terpacak di rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Harun Idris” di laman filem itu adalah tidak benar dan memalukannya pada mata khalayak.

Susulan itu, beliau mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berbaur fitnah di laman itu.

Mengenai dakwaan kononnya filem itu cuba mencetuskan isu perkauman, Shumi berkata, dia tidak mempunyai niat untuk memutar-belitkan fakta sejarah semata-mata untuk kepentingan tertentu.

Sebagai penggiat seni, kami menghasilkan Tanda Putera mengikut apa yang berlaku dan tidak ada niat atau idea untuk memutar-belitkan fakta sebenar semata-mata untuk kepentingan atau agenda tertentu.

“Saya hanya mahu berkarya dan bukan mencari pasal dengan sesiapa pun menerusi karya-karya yang dihasilkan. Sebab itu saya hairan apabila beliau mahu saman kerana isu dalam laman Facebook itu sudah pun selesai,” katanya.

Tanda Putera yang dibarisi pelakon Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim, Kavita Sidhu dan Riezman Khuzaimi diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC).

Filem genre epik kenegaraan ini akan ditayangkan pada 15 November depan.


mStar Online : 'Tanda Putera' : Shuhaimi Baba Hanya Tunggu Tindakan Lim Kit Siang

'Sang Saka Malaya' bukan bendera asal Tanah Melayu


SHAH ALAM – Dakwaan kumpulan yang mengibarkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Khamis lalu, bagi menggantikan Jalur Gemilang kononnya ia bendera asal Tanah Melayu disanggah pakar sejarah.

Bukan itu sahaja, pakar sejarah turut menggelar kumpulan tersebut sebagai pelupa dan jahil sejarah tanah air.


Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Tanah Melayu tidak pernah menggunakan bendera tersebut sebagai bendera rasmi walaupun ketika dijajah.

Menurutnya, warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan kumpulan yang menyokong pembentukan Indonesia Raya dan sentimennya dibawa pertama kali ke Tanah Melayu oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938 pimpinan Ibrahim Yaakob.

“Perkara yang diperjuangkan kumpulan KMM ini adalah memerdekakan Tanah Melayu, tetapi dengan cara bergabung dengan Republik Indonesia Raya atau Melayu Raya.


“Namun majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju  perjuangan mereka kerana  orang Melayu mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam, kerana itu majoriti memilih perjuangan Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Katanya, selepas KMM diharamkan, ideologi itu dibawa pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin Helmi dan Ahmad Boestamam.


“Mereka menggunakan bendera Sang Saka ini dalam ceramah mereka, namun perjuangan mereka ini ditolak majoriti rakyat Tanah Melayu, tetapi saki baki pendukung ideologi itu hari ini cuba menghidupkannya semula,” katanya.


Semalam, Sinar Harian melaporkan blogger 'Singa Selatan' mengakui membawa bendera baru pada sambutan kemerdekaan tanah air kerana Sang Saka Malaya bendera itu adalah simbolik panji perjuangan dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.


Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, bendera Sang Saka itu memang sering digunakan oleh negeri-negeri Nusantara sejak dahulu lagi, namun ia bukanlah bendera asal Tanah Melayu.


Katanya, dakwaan bahawa bendera itu sebagai bendera asal adalah sesuatu yang amat bodoh dan cubaan mempersoalkan kedaulatan negara.


“Parti yang mendukung pembentukan Indonesia Raya telah diharamkan, tetapi penyokongnya masih ada, jadi mereka cuba membuat pembohongan besar dengan cuba menukar sejarah kononnya itu adalah bendera asal,” katanya.



'Sang Saka Malaya' bukan bendera asal Tanah Melayu - Nasional - Sinar Harian