Sejarah
Penubuhan Johor
Asal usul perkataan Johor diambil dari perkataan Arab
“Jauhar” yang bermaksud “Permata Berharga”. Pengaruh Arab jelas kelihatan di
mana para pedagang dari Arab telah datang ke sini bagi menjalankan perniagaan
rempah yang sememangnya terkenal pada suatu ketika dahulu. Johor juga dikenali
sebagai Hujung Tanah atau “Gangganu” oleh orang-orang Siam yang bermaksud “Batu
Permata”.
Pembukaan negeri Johor bermula pada awal kurun ke-16 apabila
Melaka telah ditawan oleh Portugis. Sultan Mahmud Syah yang merupakan pewaris
terakhir takhta kerajaan Melaka telah melarikan diri dan membuka kerajaan
Johor. Pada waktu itu, Johor telah meluaskan empayarnya sehingga ke Riau.
Sejarah Johor moden bermula di bawah pemerintahan Sultan Abu
Bakar. Baginda telah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1866 seterusnya
memegang gelaran “Seri Maharaja Johor”. Sultan Abu Bakar telah memperkenalkan
Perlembagaan Johor seterusnya membawa perubahan dalam pentadbiran negeri Johor
yang lebih efisyen. Perpindahan pusat pentadbiran kerajaan Johor di Teluk
Belanga ke Tanjung Puteri pada tahun 1841 memberi kesan yang positif kepada
Johor terutamanya dari segi pembangunan. Pembinaan bangunan kerajaan, balai
polis, masjid, mahkamah dan istana besar jelas membuktikan Sultan Abu Bakar
berhak menerima gelaran sebagai “Bapa Pembangunan Johor”.
Kini, Johor yang disempadani oleh Melaka, Pahang dan
Singapura merupakan salah sebuah negeri yang pesat membangun dan maju di
Malaysia.
Askar
Timbalan Setia
Johor adalah negeri yang pertama memiliki pasukan tenteranya
sendiri dan satu-satunya pasukan tentera yang dibiayai oleh kerajaan negeri
yang masih kekal hingga kini yang dinamakan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Askar Timbalan Setia adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa
pemerintahan Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir
Abu Bakar , Sultan Johor Darul Takzim.
Antara
mereka yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor
adalah:
* DYMM
Sultan Iskandar Alhaj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Johor
Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail menerima latihan
ketenteraan dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Baginda juga
merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
* Tun
Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ke-3
Tun Hussein Onn juga pernah menyertai Askar Timbalan Setia
Negeri Johor. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai
kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal
tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun , India dan menerima tauliah pada
tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India.
*
Jeneral(B) Ibrahim bin Ismail - bekas Panglima ATM
Jeneral (B) Ibrahim Bin Ismail pernah menyertai dan
berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum
dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan
menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment
Hydrabad Ke-19 di India.
* Ungku
Ahmad bin Abd Rahman
Salah seorang daripada 3 orang yang dihantar pada awal tahun
1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India
* Dato Onn
Jaafar
* Ungku
Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid
Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid, bapa kepada YM.
Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pernah menjadi
seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai
pangkat Mejar dalam tahun 1926.
Asal Usul
Jalur Gemilang
Rekabentuk Jalur Gemilang/Bendera Malaysia sekarang adalah
hasil ilham dari salah seorang rakyat dan arkitek kerajaan Negeri Johor iaitu
Encik Mohamad bin Hamzah.
Pemilihan rekabentuk bendera tersebut bermula dari satu
pertandingan bagi merekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada
tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis
Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu,
tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk
ke peringkat akhir.
Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di
tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua
hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun
dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11
jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi
kiri.
Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada
orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut.
Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah
disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah
memilih rekabentuk ciptaan En. Mohamad bin Hamzah .
Penulis
Asal Sejarah Melayu
Penulis asal Sejarah Melayu adalah Tun Sri Lanang yang
dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Tun Seri Lanang ialah
Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615 , serta penyunting
Sejarah Melayu (buku, 1612) yang merupakan moyang kepada Sultan Johor dan
Sultan Terengganu .
Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah
Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974
ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor -
Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor
dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan
Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor dari 1699
hingga 1719 ). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak
kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun
Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam pengetahuan orang-orang Melayu , nama Tun Seri Lanang
lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa
Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah).
Penubuhan
UMNO
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu/United Malay National
Organisation ditubuhkan pada tahun 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru,
Johor. di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar. Detik bersejarah tersebut bermula
dengan satu perhimpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu
Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan
Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dan seramai
41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.
Dato Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor telah
dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap
termasuk dua orang wakil kanak-kanak.
Tiga usul telah diluluskan oleh Kongres seperti berikut:
* Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
* Membantah pertubuhan Malayan Union
* Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu sahaja.
Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato Onn Jaafar, Dato
Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil, Dato Hamzah Abdullah dan Encik
Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf piagam atau
Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya
kelak.
Walaupun ada bantahan yang hebat daripada kaum Melayu ,
Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946
menubuhkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu
terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union.
Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama
Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di
Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan
oleh para peserta. Maka UMNO pun lahirlah secara rasmi.
Asal Usul
Nama Tempat
Wujudnya nama sesuatu tempat bergantung kepada beberapa
sebab. Ada yang berpunca daripada kepercayaan atau cerita-cerita lisan (Kampung
Batu Badak). Ada yang berasal daripada alam semulajadi seperti keadaan sekitar
(Kukup), haiwan (Rengit) atau tumbuh-tumbuhan (Gunung Pulai) dan ada mengambil
sempena nama tokoh-tokoh tempatan (Tenang). Sesetengah nama tempat pula lahir
daripada peristiwa yang berlaku di tempat itu (Gelang Patah). Suatu hal yang
menarik ialah perubahan yang berlaku kepada sebutan nama sesuatu tempat itu.
Ada kalanya ia merupakan singkatan kata, pengubahan bunyi atau kepilatan
sebutan.
Batu Pahat
Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk
mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai
Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang
Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu
hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang.
Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi
daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal
daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang
mengalir dari bukit belakang bandar tersebut.
Muar
Muar lahir daripada perkataan ‘muara’ iaitu kuala sungai. Ini
disebabkan oleh penempatan awal di kawasan tersebut terletak di muara Sungai
Muar. Sungai Muar terkenal sejak zaman silam kerana sungainya yang lebar
membolehkan para pelayar berlindung di musim gelora. Pelarian Raja Iskandar
Syah (Parameswara) dari Singapura setelah dialahkan Majapahit pada awal abad
ke-15 menggunakan sungai ini. Demikian pula apabila Melaka jatuh ke tangan
Portugis pada tahun 1511, raja dan para pembesar Melaka melarikan diri melalui
Sungai Muar.
Versi lain mengenai kewujudan nama tersebut ialah daripada
perkataan ‘muak’ (jemu dan ‘mu-aru’ (Bahasa Tamil) bermaksud tiga sungai.
Bandar Maharani yang menjadi pusat bandar utama daerah Muar
mendapat nama sempena nama Permaisuri Maharaja Abu Bakar pada 12 Ogos 1887.
Oleh kerana pada masa itu Sultan Abu Bakar masih memakai gelaran Maharaja,
permaisuri baginda memakai gelaran Maharani. Bandar itu dinamakan atas nama
permaisuri yang megiringi Baginda dalam upacara perasmian bandar itu, Maharani
Fatimah.
Mersing
Mersing mendapat nama daripada peristiwa penahanan buang
daerah seorang pesuruh Sultan Pahang berbangsa Sikh, kerana melakukan kesalahan
yang berat. Penahanan ini berlaku sewaktu Mersing belum ramai penduduk. Pekerja
tersebut bernama Amer Singh, dan namanya menjadi terkenal di kawasan tersebut
hingga menyebabkan tempat itu dikenali dengan nama Mersing.
Cerita lain yang membawa munculnya nama Mersing ialah dari
peristiwa seorang dara bernama Mersing mencintai teruna perantau dari Pahang
bernama Awang. Oleh kerana Mersing diminati oleh anak penghulu, bapa Mersing
memilih anak Penghulu bakal menantunya.
Untuk memisahkan di antara Mersing dengan Awang, timbullah
fitnah. Tetapi Awang berjaya membuktikan kesuciannya dengan menghapuskan fitnah
tersebut. Akhirnya bapa Mersing bersetuju menerima Awang menjadi suami anaknya.
Namun Awang tetap keras hati lalu meninggalkan keluarga Mersing dan penduduk di
situ dalam keadaan menyesal. Dari nama dari itu lahirnya nama Mersing dan
didendangkan kisahnya dalam lagu Seri Mersing.
Segamat
Nama Segamat berasal dari ungkapan kata ‘segera amat’ atau
‘segar amat’. Kata-kata itu lahir dari mulut Bendahara Tepok dalam pelariannya
ke hulu Sungai Muar setelah Melaka ditawan Portugis. Bendahara Tepok yang
mengalami penyakit lumpuh terpaksa diusung ke perahu. Ketika sampai ke Lubuk
Batu, menurut beliau, segera amat sampainya angkatan pengiring-pengiringnya ke
tempat yang selamat, jauh dari ancaman Portugis. Oleh kerana pada hari itu
cuaca agak panas, Bendaraha Tepok pun mandilah di situ. Kata Bendahara Tepok
setelah mandi, “Segar amat rasa badan ini” kata-kata Bendahara Tepok ini
menjadi sebutan ramai pengikutnya hingga kemudiannya menamakan petempatan yang
mereka duduki dengan nama Segamat.
Pontian
Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’.
Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar, tempat berteduh
dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura
atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk
menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala
Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya,
sementara Pontian Kecil menjadi Bandar utama bagi daerah Pontian.
Kota Tinggi
Kota Tinggi mengambil nama daripada kota yang dibina di atas
kawasan tinggi di tebing Sungai Johor. Pembinaan kota tersebut untuk menangkis
serangan Portugis yang berusaha hendak melenyapkan kuasa Kesultanan Melayu yang
telah dialahkannya di Melaka pada tahun 1511.
Oleh Kerana Sungai Johor adalah kawasan yang selamat untuk
berteduh dari gelora Laut Cina Selatan , ia telah menjadi tumpuan para pedagang
sejak zaman silam lagi. Zaman Ptolemy kawasan tersebut dikenali dengan nama
Palanda. Banyak tinggalan lama seperti manik dan permata dari zaman Han (SM200
- TM20) dan zaman Empayar Rom pernah ditemui di Kota Tinggi.
Tangkak
Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak’. ‘tang’ berasal
dari perkataan tentang yakni tempat. Peristiwa itu berlaku ketika peneroka
kawasan Tangkak, Long Mahmud tujuh bersaudara terpaksa merangkak naik ke tebing
Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing
sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi
pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia.
Kluang
Bandar Kluang mengambil nama Keluang Kampung. Keluang sejenis
kelawar besar pemakan buah. Ia memakan bunga durian dan buah-buahan seperti
rambutan, rambai dan lain-lain. Penduduk kampung tersebut berjaya membunuh
tupai yang datang ke dusun mereka, tetapi gagal menakutkan keluang yang begitu
banyak setiap petang datang ke situ. Keluang yang banyak itu dikatakan datang
dari sebuah bukit di belakang kampung mereka (bukit yang dimaksudkan mungkin
Gunung Lambak). Akhirnya seorang pawang terpaksa mengadakan suatu upacara di
bukit tersebut untuk memujuk keluang-keluang itu agar tidak datang ke dusun
penduduk kampung tersebut.
Kredit : Persatuan Bangsa Johor
Kredit : Persatuan Bangsa Johor