Jakim seru umat Islam Malaysia tolak tuntutan NGO BUKAN ISLAM di Geneva
Umat
Islam di negara ini diseru supaya bersatu untuk menolak tuntutan yang
akan dikemukakan oleh gabungan 54 NGO kepada Majlis Hak Asasi Manusia di
Geneva, Switzerland yang akan membuat semakan berkala rekod hak asasi
manusia negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu minggu depan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam teks khutbah Jumaat yang
diedar hari ini mempersoalkan kewajaran tuntutan berkenaan yang dilihat
cuba menghancurkan keharmonian masyarakat dan menggugat kedudukan agama
Islam seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara tuntutan
itu termasuk hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta dakwaan
diskriminasi ke atas wanita Islam dalam peruntukan tertentu
undang-undang keluarga Islam.
Laporan oleh gabungan NGO itu
juga menyentuh dakwaan diskriminasi terhadap pengikut syiah serta
bantahan pengharaman bahan penerbitan yang menyalahi hukum syarak.
"Persoalannya timbul di sini apakah tujuan gabungan NGO tersebut
membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian di Majlis Hak Asasi
Manusia, Geneva?," kata teks khutbah berkenaan.
Teks khutbah bertajuk Menangani Konsep Kebebasan itu dikeluarkan di laman web Jakim.
Khutbah itu menarik perhatian bahawa NGO berkenaan membuat tuntutan itu
untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan amalan kebebasan secara
mutlak dengan berselindung di sebalik apa yang didakwa sebagai hak asasi
manusia.
Khutbah itu menegaskan adalah menjadi tanggungjawab
umat Islam untuk menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara
tersebut kerana ia melibatkan identiti dan maruah umat Islam.
"Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat
impak amalan-amalan bertentangan aqidah dan syariah, mimbar menyeru
kepada semua pihak agar menolak segala tuntutan ini.
"Jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan," kata khutbah itu lagi.
Jakim turut berpendapat tuntutan itu digerakkan "secara halus" oleh
"musuh-musuh Islam atau umat Islam yang telah diperkudakan oleh musuh
Islam".
Ia juga berpendapat gejala negatif yang dipertahankan
oleh tuntutan NGO itu berlaku kesan propaganda fahaman pluralisme agama
yang semakin hari semakin berkembang di negara ini.
Untuk itu,
khutbah berkenaan mengingatkan bahawa dalam Islam tidak ada kebebasan
mutlak kerana setiap tindak tanduk manusia "dibimbing oleh prinsip dan
peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu
daripada Allah".
Khutbah itu juga menggesa pihak berkuasa
menangani kumpulan NGO itu yang didakwa "sengaja mengada-adakan cerita"
untuk menjatuhkan imej negara di mata dunia.
Selain tindakan
undang-undang, Jakim mencadangkan NGO itu disiasat bagi memastikan tidak
mendapat pembiayaan daripada pihak luar bagi mencemarkan nama baik dan
kedaulatan negara.
Dalam pada itu, khutbah berkenaan yakin
Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva rasional dan tidak akan terpengaruh
dengan laporan negatif NGO berkenaan terhadap kerajaan.
Sumber : Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan