Khamis, 23 Mei 2013

Pas utama jalan damai - Harun Taib



Pas tetap dengan pendiriannya menolak sebarang cubaan  menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan seperti didakwa cuba dilakukan sesetengah pihak.

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib berkata, Pas juga tidak masuk campur dengan pendirian pemimpin atau penyokong PR yang menyokong cara sedemikian.

“Dalam Pas, kita utamakan jalan perdamaian. Kita juga berpegang kepada prinsip demokrasi yang diamalkan.

“Saya tak melarang perhimpunan dilakukan, namun saya tidak berminat untuk menyertainya. Jika ada pemimpin PR atau pihak lain yang tetap mahu melakukannya, terserah kepada mereka. Itu pendirian mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha sesetengah pihak yang didakwa cuba menggunakan kekerasan untuk menggulingkan kerajaan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Tegasnya, parti itu menerima kegagalan dalam PRU13.

“Kita terima keputusan PRU13 lalu dengan hati terbuka. Namun, dalam perjuangan Pas, tiada istilah putus harapan.

“Kita akan majukan diri dan cuba lagi untuk menang dalam PRU akan datang,” katanya
.

- Dilarang memerangi pemerintah Islam...


Sesiapa yg mengeluarkan kenyataan menghasut utk menjatuhkan atau menggulingkan kerajaan yg dilantik dan diperkenan oleh YDP Agong, kerajaan yg menjalankan tugas urus tadbir negara utk YDP Agong, bermakna dia telah menderhaka, membelot kepada YDP Agong. Dan perlu ingat, YDP Agong adalah pemerintah dan ketua Agama Islam negara ini. Jika anda tidak mahu di tangkap, saya nasihatkan anda supaya jangan tweet, jangan update status, atau melafazkan kenyataan yg menghasut utk menjatuhkan/menggulingkan kerajaan/pemimpin/pemerintah dan elakkan diri anda daripada menyertai perhimpunan2 untuk menggulinghkan pemerintah... Rasululah sallahu alahi wasallam berpesan supaya kita taat kepada pemerintah:

Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/114, no. 2737. Muslim, 9/364, no. 3417)

Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan khutbah pada haji al-Wida’ dalam keadaan baginda menunggang untanya yang kepenatan. Sabda beliau, “Wahai manusia!” Kemudian, seorang lelaki di belakang berkata, “Apakah yang engkau perkatakan atau mahukan?” Sabda Rasulullah, “Adakah kamu tidak mendengar, sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku dan tiada lagi ummat selepas kamu. Ketahuilah, hendaklah kamu sentiasa mengabdikan diri kamu kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu, berpuasalah kamu pada bulannya, tunaikanlah zakat dengan harta kamu, berbuat baiklah terhadap diri kamu, dan taatilah pemimpin kamu, pasti kamu akan memasuki Syurga Tuhan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, 36/487, no. 22161. Tahqiq Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat Imam Muslim. Diriwayatkan juga oleh at-Tirmidzi dan katanya hasan sahih)

Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)

"Sesungguhnya kamu akan menyaksikan selepas peninggalanku perbuatan mementingkan diri dan pelbagai perkara yang kamu ingkari (tidak suka).” Mereka (para sahabat) bertanya:“Maka apakah yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah?” Baginda bersabda:“Tunaikanlah kepada para pemerintah hak-hak mereka (sebagai pemimpin) dan mintalah kepada Allah hak-hak kamu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/441, no. 6529)Dapat kita fahami dari hadis ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedikitpun tidak memerintahkan kita semua supaya memberontak atau bertindak mengusahakan pertukaran tampuk kepimpinan sedia ada. Tetapi apa yang beliau perintahkan adalah supaya menunaikan hak-hak pemimpin (selaras dengan kedudukannya sebagai pemimpin) dan meminta hak-hak kita kepada Allah.

“Ingatlah, sesiapa yang diperintahkan ke atasnya (oleh) seorang wali (imam atau pemimpin), kemudian dia melihat (imam atau pemimpin tersebut melakukan) maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan imam atau pemimpin tersebut). Dan tidak boleh baginya melepaskan tangan (keluar) dari ketaatan.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/404, no. 3448)

“Sesiapa yang melihat pada amirnya (pemimpin) sesuatu yang dibencinya, hendaklah dia tetap sabar dengan sebab tersebut. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu keluar dari al-Jama’ah (tidak mentaati pemerintahnya) walaupun sejengkal lalu ia mati dalam keadaan tersebut (keluar dari ketaatan terhadap pemimpin), maka matinya itu adalah mati dalam keadaan jahiliyah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, 22/51, no. 6610)

"Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 3/387, no. 3435)

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi (menentang) mereka pada ketika itu?” Rasulullah menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Jangan, selagi mana mereka masih solat bersama-sama kamu! Ingatlah, jika ada pemimpin yang menguruskan urusan seseorang lalu orang itu melihat pemimpinnya melakukan maksiat kepada Allah, maka bencilah maksiat tersebut, dan jangan melepaskan ketaatan (daripada pemimpin tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/404, no. 3448)

"Nanti akan datang para pemimpin yang berbuat baik juga berbuat mungkar. Sesiapa yang memahami (perkara tersebut) maka ia terlepas, sesiapa yang mengingkari bererti ia selamat. Berbeza dengan orang yang rela dan patuh.” Para sahabat pun bertanya, “Bolehkah kita memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Jangan, selagi mana mereka masih mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Imarah, 9/400, no. 3445)

"Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian engkau mengingkarinya (kerana ia telah melakukan maksiat). Sesiapa yang benci (terhadap maksiat tersebut), maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan mengikuti keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh memeranginya (menentanganya)?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat.” Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)

"Sesiapa yang melepaskan ketaatan daripada pemimpin, dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat tanpa memiliki hujjah (alasan).” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 9/393, no. 3441)

“Bahawasanya setiap orang yang mengkhianati pemimpin, ia akan diberikan bendera pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya bahawa inilah bukti pengkhianatan si fulan bin fulan (terhadap pemimpin).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 19/156, no. 5710)


- MANHAJ AHLI SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP PEMIMPIN WALAUPUN YANG ZALIM 

-  Dilarang memerangi pemerintah Islam yang zalim

Jumaat, 17 Mei 2013

Nasharuddin Ulangi Kenyataan Mahu Umno Dan PAS Bersatu..



Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa pada Khamis mengulangi kenyataannya supaya parti-parti mewakili orang Melayu dan Islam di negara ini bersatu untuk kebaikan agama.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al Quds Malaysia berkata, untuk mencapai tujuan itu pemimpin dan anggota Umno dan PAS perlu berani mengenepikan kepentingan masing-masing.

"Kegagalan penyatuan di antara Umno dan PAS berlaku kerana masing-masing tidak mahu meninggalkan kepentingan peribadi dan kuasa yang diperoleh," katanya ketika menjawab soalan daripada peserta Forum Kedamaian dan Keselamatan 2013 di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR), di sini.

Beliau berkata, pemimpin parti politik lebih tertumpu dan berlumba untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya dan pemerintahan negara daripada melihat kesan ke atas perpaduan ummah.

Sebelum itu, Nasharudin dalam ceramahnya bertema 'In Search of Human Security - Islamic Diplomacy and the Way Forward' berkata Nabi Muhammad S.A.W. mampu menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai puak di bawah kepimpinan dan sikap diplomasi beliau yang indah.

"Mereka (terdiri daripada pelbagai kabilah) diikat dalam satu perjanjian yang menjadi Perlembagaan Islam bertulis yang pertama.

"Ini benar-benar menunjukkan bahawa masyarakat yang disatupadukan oleh baginda pada masa itu yang terdiri daripada pelbagai kaum, kesemuanya bersetuju untuk berada di bawah pemerintahan baginda berdasarkan kepada undang-undang syariah Islam," katanya.

Forum sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Institut Antarabangsa PengajianIslam Lanjutan (IAIS) dan Cordoba Foundation, United Kingdom, Yayasan GerakanKesederhanaan Global (GMMF), dan Institut Diplomatik Qatar.

Forum itu bertujuan bagi memberi pemahaman yang lebih baik di kalangan masyarakat global berhubung perspektif Islam mengenai keamanan dan kesederhanaan bagi menyelesaikan konflik.

Ia juga menekankan pendekatan diplomatik termasuk melalui cara rundingan kekal sebagai cara penting bagi mendapatkan penyelesaian aman selain membina perdamaian dan keamanan.

Ahad, 12 Mei 2013

Jadikan Penyatuan Umno-PAS Agenda Berterusan - Nasharuddin




Umno dan PAS harus menjadikan agenda penyatuan kedua-dua parti itu usaha berterusan demi mengukuhkan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini, kata bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa.

Katanya berdasarkan perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum 2008, PAS telah memulakan usaha tersebut tetapi tidak kesampaian.

"Bagi saya penyatuan PAS dan Umno mesti menjadi agenda berterusan.

"Cuma saya tidak boleh terima apabila ada yang hendak usahakan lagi penyatuan PAS dan Umno ada yang mengatakan muka mereka hendak diludah...ini ajaran agama mana?" katanya ketika berucap pada program Wacana Kepimpinan Survival Ummah di sini Ahad.

Nasharuddin berkata perbezaan pandangan bukan isu utama demi menjayakan penyatuan kedua-dua parti yang mempunyai teras perjuangan sama iaitu mempertahankan agama Islam dan Melayu.

"Soal penyatuan ini adakah hendak tunggu dah ranap baru nak bersatu seperti di dunia Islam lain.

"Setelah ranap, jadi 'ground zero' baru ada kesedaran untuk perpaduan," katanya.

Selaku seorang yang pernah menduduki kepimpinan tertinggi PAS selama 10 tahun, Nasharuddin turut memberi rumusan mengenai Umno dan PAS.

"Berdasarkan pengalaman saya, boleh dirumuskan bahawa tidak semua Umno itu iblis, dan tidak semua dalam PAS itu malaikat," katanya.

Mengenai post mortem PRU13, Nasharuddin berkata proses penyatuan semula nasional harus dimulakan dengan penyatuan di kalangan orang Melayu.

"'Reconciliation' di kalangan orang Melayu itu harus menjadi agenda utama," katanya.
 
Selain Nasharuddin, beberapa tokoh termasuk tokoh pendidik Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, mantan hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar.

Program bertajuk 'Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan Dan Survival Ummah' dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM. - BERNAMA

Sabtu, 11 Mei 2013

PENGUASAAN SECARA SENYAP? TEORI THE CHINESE BELT...



Biarlah posting kali ini dimulakan dengan mengimbaskan lipatan sejarah iaitu kemelut semasa Allahyarham Dato’ Onn Jaafar menuntut kemerdekaan. Antara tuntutan atau syarat yang dikenakan oleh pihak Brittish adalah tentang pemberian status kewarnegaraan kepada orang bukan Melayu iaitu orang Cina dan India atas prinsip Jus Soli. Kemelut berlaku kerana menurut hujah Allahyarham Dato’ Onn Jaafar akan menjadikan orang Cina sebagai penduduk majoriti di Tanah Melayu.
 
Mengikut taburan penduduk pada masa itu menunjukkan bahawa orang Cina banyak tertumpu di Negeri-Negeri Selat ( Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) memandangkan negeri-negeri tersebut adalah pusat perdagangan dan juga mereka diterima sebagai rakyat British ( di bawah perlaksanaan undang-undang Brittish Oversea Citizenship) berbanding dengan kaum Cina yang duduk di negeri lain. Selain di Negeri-Negeri Selat , tumpuan pendudukan kaum Cina adalah di bandar-bandar di negeri –negeri pantai barat seperti Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Bharu. Allahyarham Dato’ Onn menggelarkan jajaran negeri-negeri tersebut ( Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura sebagai Jajaran Cina atau dalam bahasa Inggerisnya “The Chinese Belt”.
 
Lebih dari setengah abad kemelut serta kerisauan tersebut berlalu. Tanah Melayu telah menjadi Malaysia. Singapura juga telah keluar dari Gagasan Malaysia. Semasa keluar dari Malaysia, Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pemimpin People Action Party (PAP) telah meninggalkan legasinya iaitu Parti DAP.
 
Keputusan Pilihanraya Umum ke 13 secara tidak langsung membuka semula lebaran kemelut dan kerisauan yang dihadapi oleh Allahyarham Dato Onn ini. Keputusan Pilihanraya Umum ke 13 melihat kejatuhan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor , Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke tangan pembangkang, Manakala negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, BN tidak memegang kuasa majority 2/3 (atau di gelar sebagai negeri-negeri marginal).Dan kerusi - kerusi yang ditandinig oleh calon - calon DAP semuanya menang dengan majoriti yang amat besar.


Di negeri-negeri pembangkang ini secara "de facto"nya dikuasai oleh orang Cina dari segi politik dan ekonomi. Dari segi ekonomi pemilikan tanah dan bangunan di bandar di kuasai oleh kaum Cina kerana kekuatan ekonomi mereka. Isu masyarakat Melayu Pulau Pinang di singkirkan dari bandar tidak ada kesudahannya. Sama ada sedar atau tidak, orang Melayu kian di tolak sedikit demi sedikit secara halus ke kawasan-kawasan pinggir bandar. Ini ditambah lagi dengan pembelian tanah di Malaysia oleh orang-orang Cina Singapura.

 Dari segi politik pula , Pulau Pinang dan Selangor ( dan Perak 18 kerusi DAP) secara de factonya dikuasai oleh orang Cina. Pulau Pinang telah menolak semangat DEB, Selangor pula dengan projek Khinzir Raksasa dan isu araknya. Dahulu Perak panas dengan isu tanah Kampung Baru Cina yang diberi milik selama 999 tahun. PAS selaku parti pembangkang Melayu seolah-olah tidak bermaya dalam pakatan pembangkang. Di Perak orang Cina menganggap pengambilalihan kuasa pemerintahan oleh BN adalah penggulingan Kerajaan Cina oleh Kerajaan Melayu. Seperti yang pernah disampaikan oleh En Zahir bin Dato Khalid Exco Kerajaan Negeri Perak, masyarakat Cina sukar untuk menyokong BN kerana anggapan mereka BN telah menggulingkan Kerajaan mereka.

DAP telah mengkaji tentang Perlembagaan negeri Perak dan Selangor dan juga beberapa negeri lain yang memperuntukkan kemestian meletakkan orang Melayu ke jawatan Menteri Besar. Mereka mula membuat rancangan awal untuk mengatasi halangan Perlembagaan ini. Mereka membuka cawangan DAP Melayu dan berkira-kira untuk meletakkan calon Melayu bertanding atas tiket DAP. Nik Aziz , Mursyidul Am PAS telah dengan gembira menyokong dan menggalakkan tindakan DAP ini. Walau dengan nama apa pun pakatan sama ada Alternatif atau Pakatan Rakyat ,DAP lah yang akan banyak menguasai di negeri-negeri secara "de facto".

Selain memenangi beberapa negeri dan penambahan kerusi parlimen dalam PRU ke13, pembangkang juga berkemungkinan memenangi negeri-negeri marginal Melayu yang lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.Senario yang paling menakutkan (dooms day scenario) ialah selain kehilangan negeri-negeri marginal di Semenanjung kemungkinan BN juga akan kehilangan Sabah & Sarawak. Ini bermakna, selepas PRU ke -14, Pembangkang akan berkuasa mutlak.

Orang Melayu jelas akan terhimpit kerana Pakatan Rakyat (PR) didominasi oleh bukan Melayu seperti yang berlaku sekarang. PAS tidak boleh diharap untuk membela hak Melayu kerana kedudukan mereka dalam PR lemah.Buktinya PAS hanya memenangi 21 kerusi Parlimen dari keseluruhan 73 kerusi yang ditandingi mereka sedangka DAP mempunyai 38 Kerusi Parlimen walaupun mereka hanya bertanding sekitar 58 Kerusi.

Satu perkara yang amat perlu disedari bahawa dari kebanyakan negeri yang dikuasai pembangkang, Pulau Pinang merupakan negeri yang paling sukar untuk dirampas kembali. Pentadbiran DAP akan menggunakan apa jua kaedah bagi memastikan penguasaan mereka terus berkekalan. 

Pertalian antara Singapura dengan Pulau Pinang juga bertambah erat.Lee Kuan Yew sering melawat Pulau Pinang dan Lee Guan Eng juga sering melawat Singapura. Pendekatan yang diambil oleh beliau mirip dengan apa yang berlaku di Republik tersebut.Hubungan ekonomi dua hala juga bertambah kukuh

Secara tidak langsung, pengaruh Singapura terhadap Pulau Pinang bertambah kuat. Pulau Pinang juga akan lebih yakin dan mempunyai identitinya sendiri. Sekiranya ini berterusan, besar kemungkinan kita akan “kehilangan” Pulau Pinang seperti juga kita kehilangan Singapura dahulu.

 
Adakah dari perspektif politik The Chinese Belt akan muncul semula?Adakah ini suatu gerakan untuk menguasai Malaysia secara senyap? Adakah orang Melayu sedar akan kemungkinan ini?


Fikir-fikirkanlah..!! 

Selasa, 7 Mei 2013

Nasib Islam selepas PRU13


Ketika artikel ini ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin), keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang. Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah  muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.

Analisis awal yang dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan Islam jarang kedengaran.

Kita lebih obses dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan, gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?

Lebih ekstrim lagi, mereka meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi sudah ultra paisi (jahat).

Pilihan raya adalah medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

PRU13 hanya alat, menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di buminya sendiri.

Saya tidak dengar ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain (vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat, bangsa dilaknat, negara tidak berkat.

Saya teramat sedih membaca kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon, panduan berpakaian dan sebagainya.

Pada saya, jika Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.

MCA ternyata semakin kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu menyindir PAS, sehingga menghina Islam.

Saya harap UMNO dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali berani mempermainkan agama wahyu ini.

Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang Islam yang ada dalam PRK dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?

DAP dan semua bukan Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Persoalannya, kenapa mereka masih menentang? Saya simpulkan, mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.

Mereka sengaja memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu. Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.

Saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak semakin hilang dan terhakis.


- Dr Ridhuan Tee