Artikel ringkas ini akan cuba
menjelaskan manhaj yakni kaedah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam bermuamalah atau
berhubungan dan bergaul dengan pemimpin yang zalim. Ahli Sunnah wal Jamaah
(ASWJ) meletakkan permasalahan berkenaan pemimpin ini dalam bab akidah
melambangkan betapa pentingnya isu kepimpinan ini sekaligus menafikan dakwaan
bahawa Islam adalah agama sekular yang mengasingkan agama daripada politik.
Fahaman sekular amat menyeleweng daripada akidah Islam kerana Islam melihat
politik sebagai masalah akidah yang perlu dipelihara. Pemahaman politik yang
terkeluar daripada manhaj ASWJ akan melahirkan kesesatan dalam perkara akidah.
Sebagai contoh ajaran Syiah Rafidah yang bukan sekadar sesat bahkan kafir
adalah berpunca daripada pergolakan politik. Selain itu, masalah bagaimana kita
perlu bermuamalah dengan pemimpin muslim yang zalim juga termasuk dalam akidah
al-Wala’ wa al-Bara’ (Cinta dan Benci kerana Allah) yang merupakan ikatan
iman yang paling teguh.
Pemimpin yang muslim yang melakukan
kezaliman termasuklah dalam kategori kedua manusia dalam akidah al-Wala’ wa
al-Bara’ iaitu mereka yang berhak mendapat al-wala’ (kesetiaan) dan al-Bara’
(berlepas diri) sekaligus. Berikut kita jelaskan noktah-noktah penting
dalam manhaj ini:
Pertama: Mentaati Pemerintah Adalah
Wajib ‘Ain
Mentaati pemerintah kaum muslimin
yang beragama Islam adalah fardu ‘ain berdalilkan firman Allah s.w.t dalam
surah alp-Nisaa ayat ke-59:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ
تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang
Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya –
jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Kewajipan taat kepada pemimpin kaum
muslimin adalah perkara ijmak dalam kalangan ASWJ bahkan para ulama juga telah
ijmak wajibnya memerangi kaum bughah yakni mereka yang menentang pemimpin Islam
secara bersenjata.
Kedua: Haram Mentaati Perintah Yang
Maksiat
Demikian juga telah ijmak ulama
haram terhadap muslim mengikut perintah pemimpin yang membawa kepada maksiat.
Ini berdasarkan ayat di atas (surah al-Nisaa: 59) yang mengqaidkan (mengikat)
ketaatan kepada pemimpin itu dengan ketaatan kepada Allah s.w.t. Demikian juga
sabda Rasulullah s.a.w:
إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Ketaatan itu
sesungguhnya hanya dalam perkara makruf” [Muttafaq 'Alaih].
Dan sabda Nabi s.a.w:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى
الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ
فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ
Maksudnya: “Dengar dan Taat
itu wajib atas setiap muslim dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak
disuruh melakukan maksiat maka apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan
maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat” [Muttafaq
'alaih].
Antara contoh dalam tidak mentaati
perkara maksiat adalah sebagaimana hadis dalam sahih al-Bukhari dan Muslim
bahawa seorang panglima perang yang dilantik Rasulullah s.a.w dalam satu sariah
memerintahkan para prajuritnya untuk masuk dalam api lalu mereka semua enggan.
Sehingga akhirnya kemarahan panglima mereka reda dan api pun padam,
mereka pulang ke Madinah dan mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu
baginda berkata:
“Jika kamu masuk ke dalamnya
tentulah kamu tidak akan keluar lagi, sesungguhnya taat itu hanya dalam perkara
makruf”.
Ketiga: Wajib Menasihati Pemimpin
Yang Zalim.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang
sahih lagi masyhur:
الدين النصيحة قلنا لمن ؟ قال لله
ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
Maksudnya: “Agama itu adalah
Nasihat”. Kami (Sahabt) bertanya: ‘Untuk siapa?’ Jawab baginda: “Untuk Allah,
kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan awam mereka”.
[Muslim]. Dan sabda Nabi s.a.w:
أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر
Maksudnya: “Jihad yang Afdal
adalah perkataan yang benar di sisi pemimpin yang zalim” [Abu Daud,
al-Tarmizi, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad dan hadisnya sahih]. Nasihat kepada
pemimpin itu hendaklah dilakukan dengan bahasa yang paling baik dan paling
lunak serta dalam keadaan yang terhormat serta haram mencela dan mengaibkan
pemimpin depan khalayak ramai berdasarkan firman Allah s.w.t:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ
طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى (
44)
Maksudnya: “Pergilah
kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam
kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. [Taha: 43&44].
Istidlalnya adalah jika kepada
Firaun yang kafir pun Allah s.w.t memerintahkan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun
a.s bercakap secara lemah lembut maka lebih utama lagi dilakukan kepada
pemimpin Islam. Sabda Nabi s.a.w:
من أراد أن ينصح لذى سلطان بأمر فلا
يبدله علانية ولكن ليأخذ بيده فيخلو به فان قبل منه فذاك وإلا كان قد أدى الذى
عليه
Maksudnya: “sesiapa yang
hendak menasihati pemimpin akan sesuatu urusan maka janganlah dia melakukannya
terang-terangan tetapi peganglah tangannya dan bersendirianlah dengannya (lalu
nasihatlah), jika dia (pemimpin) menerimanya maka demikianlah yang dikehendaki,
jika tidak maka dia telah melaksanakan tanggungjawabnya”. [Ahmad,
sahih].
Dalam hadis ini menjelaskan wajibnya
menasihati pemimpin dan wajib pula melakukannya dengan cara yang baik. Dalam
sebuah riwayat dinyatakan:
عن زياد بن كسيب العدوي قال كنت مع
أبي بكرة تحت منبر ابن عامر وهو يخطب وعليه ثياب رقاق فقال أبو بلال : أنظروا إلى
أميرنا يلبس ثياب الفساق فقال أبو بكرة اسكت سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم
يقول من أهان سلطان الله في الأرض أهانه الله
Maksudnya: Daripada Ziyad bin
Kasib al-Adwi katanya: Aku bersama Abu Bakrah di bawah minbar Ibn Amir ketika
dia sedang berkhutbah dengan memakai pakaian yang nipis maka berkata Abu Bilal:
‘Lihat pemimpin kita itu, dia memakai pakaian orang fasiq’. Maka berkata Abu
Bakrah r.a: Diamlah, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang
menghina Sultan Allah di bumi maka Allah akan menghinanya”.
[al-Tarmizi, sahih].
Oleh itu, jelas sekali dalam manhaj
Syarak yang benar, perbuiatan berdemonstrasi dan protes jalanan membantah
pemimpin yang zalim adalah maksiat dan perbuatan itu hanyalah menambah dosa
atas dosa semata-mata. Abu Ishaq al-Sabi’i r.h, daripada pembesar ulama
Tabiin berkata:
ما سب قوم أميرهم، إلا حرموا خيره
Maksudnya: “Tidak ada suatu
kaum yang mencerca pemimpin mereka melainkan akan terhalang daripada mendapat
kebaikannya”. [al-Tamhid, Ibn Abdil Barr, al-Fitan, Abu Amru al-Dani].
Keempat: Haram Memberontak dan
Menggulingkan Pemerintah Yang Zalim
Walaupun disuruh kita tidak
mengikuti perintah yang berunsur maksiat, namun pemimpin yang menyuruh
melakukan maksiat atau melakukan maksiat hanya wajib dinasihati secara baik dan
tidak boleh digulingkan dengan kekerasan atau menderhaka kepadanya. Sabda
Rasulullah s.a.w: Dalilnya hadis Muslim dan Ahmad berikut:
عن عوف بن مالك عن رسول الله صلى الله
عليه و سلم قال ( خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم ويصلون عليكم وتصلون عليهم
وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم ) قيل يا رسول الله
أفلا ننابذهم بالسيف ؟ فقال ( لا ما أقاموا فيكم الصلاة وإذا رأيتم من ولا تكم
شيئا تكرهونه فاكرهوا عمله ولا تنزعوا يدا من طاعة
)
Maksudnya: Daripada Auf bin
Malik daripada Rasulullah s.a.w sabda baginda: “Sebaik-baik pemimpin kamu
adalah yang kamu suka dan mereka menyukai kamu, kamu mendoakan mereka dan
mereka mendoakan kamu, seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan
mereka benci kepada kamu, kamu melaknapt mereka dan mereka melaknat kamu”. Kata
para sahabat: ‘wahai Rasulullah, apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’
Jawab baginda: “Tidak boleh selagi dia mendirikan solat dalam kalangan kamu dan
jika kamu melihat pemimpin kamu melakukan sesuatu yang dia benci maka bencilah
amalannya tetapi jangan cabut tangan dari mentaatinya (dalam makruf)”.
Hadis ini tidaklah menunjukkan
bolehnya melaknat pemimpin kerana tidak boleh sama sekali melaknat seseorang
muslim tetapi melaknat amalan pemimpin tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w:
(ستكون أمراء فتعرفون وتنكرون فمن عرف
برئ ومن نكر سلم ولكن من رضي وتابع ) قالوا أفلا نقاتلهم ؟ قال ( لا ما صلوا
)
Maksudnya: “Akan ada nanti
pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana
ianya maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia
terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang
reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi
mereka?’ Kata baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. [Muslim,
Abu Daud, al-Tarmizi, Ahmad].
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
( يكون بعدي أئمة لا يهتدون بهداي ولا
يستنون بسنتي وسيقوم فيهم رجال قلوبهم قلوب الشياطين في جثمان إنس ) قال قلت كيف
أصنع ؟ يا رسول الله إن أدركت ذلك ؟ قال ( تسمع وتطيع للأمير وإن ضرب ظهرك وأخذ
مالك فاسمع وأطع
)
Maksudnya: “Akan ada selepasku
pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak mengikut sunnahku
dan akan ada dalam mereka lelaki-lelaki yang berhati syaitan berbadan manusia”.
Kata Huzaifah:’Aku bertanya: Maka bagaimana aku harus lakukan wahai
Rasulullah?’ Jawab baginda: “Kamu dengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia
menyebat belakangmu dan merampas hartamu, dengar dan taatlah”.
[al-Bukhari & Muslim, lafaz bagi Muslim].
Sabda Rasulullah s.a.w:
مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا
فَلْيَصْبِرْ فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنْ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً
جَاهِلِيَّةً
Maksudnya: “Sesiapa yang
membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana
sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka
dia mati sebagai orang jahiliah”. [al-Bukhari & Muslim]
Syarat untuk keluar memberontak
adalah apabila pemimpinnya menjadi kafir maka ketika itu wajib atas kaum
muslimin melucutkan jawatannya dengan cara yang paling elok dan jika tidak ada
jalan lain melainkan perang maka hendaklah berperang jika tidak hendaklah
mereka berhijrah. [Syarah Tahawiyah min Kalam Ibn Taimiah, 86&87].
Ini sebagaimana sabit dalam hadis
al-Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin al-Samit r.a katanya:
دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ
بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا
وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ
أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ
بُرْهَانٌ
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w
memanggil kami lalu baginda mengambil baiat daripada kami dan antara yang
baginda syaratkan adalah dengar dan taat (pada pemimpin) dalam perkara yang
kami suka dan benci (selagi bukan maksiat), dalam keadaan senang dan susah kami
dan dalam perkara yang merugikan kami dan janganlah kami menandingi hak ahlinya
melainkan kamu melihat kufur yang jelas yang padanya kamu mempunyai dalil di
hadapan Allah nanti”.
Berkata al-Qadi ‘Iyadh r.h:
لو طرأ عليه الكفر انعزل
Maksudnya: “Jika dia
(pemimpin) menjadi kafir (nauzubillah min zalik) maka dia terlucut jawatan..”
[Syarah Sahih Muslim li al-Nawawi, 12/229].
Berkata Imam Abul Hasan al-Asy’ari
r.h:
ونرى الدعاء لأئمة المسلمين بالصلاح
والإقرار بإمامتهم وتضليل من رأى الخروج عليهم إذا ظهر منهم ترك الاستقامة
وندين بإنكار الخروج بالسيف وترك
القتال في الفتنة
Maksudnya: “dan kami
berkeyakinan wajibnya mendoakan kebaikan bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin
dan kestabilan pemerintahan mereka serta menyesatkan sesiapa sahaja yang
berpendapat bolehnya menderhaka kepada pemimpin yang zalim dan kami beriman
haramnya memberontak dengan senjata dan kami beriman perlu meninggalkan berperang
dalam fitnah”. [al-Ibanah, 1/11].
Jelas daripada kenyataan Imam
al-Asy’ari ini, ASWJ bersepakat haramnya memberontak kepada pemerintah selama
dia muslim dan beriman walaupun dia melakukan maksiat dan berlaku zalim.
Analoginya mudah, apabila ibu bapa
kita melakukan maksiat atau menyuruh kita melakukan maksiat maka kita wajib
mengingkari maksiat tersebut tetapi kita tidak boleh memutuskan nasab kita
dengan mereka.
Imam Abu Jaafar al-Tahawi r.h
menyatakan dalam kitab Aqidah beliau:
-”ولا نرى الخروج على أئمتنا وولاة
أمورنا وإن جاروا ولا ندعو عليهم ولا ننزع يدا من طاعتهم ونرى طاعتهم من طاعة الله
عز وجل فريضة، ما لم يأمروا بمعصية، وندعو لهم بالصلاح والمعافاة
.”
Maksudnya: “dan kami tidak
percaya sama sekali bolehnya keluar menetang pemerintah walaupun mereka berlaku
zalim dan kami tidak akan mendoakan keburukan atas mereka dan tidak akan
menderhaka pada mereka bahkan kami berpendapat mentaati mereka termasuk taat
kepada Allah Azza wa Jall dan ianya fardu (wajib) selama mereka tidak menyuruh
melakukan maksiat dan kami mendoakan bagi mereka kebaikan dan kemapunan”.
[Syarah Tahaiwah min Kalam Ibn Taimiah, 85].
Contoh Ulama al-Salaf dalam
Berhadapan Kezaliman Pemimpin
Imam Abu Hanifah r.h: Beliau telah dipenjarakan oleh Khalifah al-Mansur al-Abbasi
hanya kerana tidak mahu menerima jawatan Qadi (Hakim). Abu Hanifah r.h tidak
pernah sama sekali membenarkan kaum muslimin menentang atau memberontak
terhadap al-Mansur sehingga beliau wafat dalam penjara.
Imam Malik bin Anas r.h: Di zaman beliau terdapat pemberontakan terhadap al-Mansur
(yakni Khalifah al-Mansur yang menghukum Abu Hanifah tadi) kemudian pemberontak
ini berjaya menawan Madinah dan dipaksa untuk membaiat pemimpin mereka. Imam
Malik enggan menderhaka pada Khalifah dan sanggup diseksa walaupun diketahui
al-Masnur seorang yang zalim.
Imam al-Syafii r.h: Beliau telah ditangkap dan ditahan tanpa usul periksa dan
dituduh sebagai pemberontak oleh Khalifah Harun al-Rasyid r.h, namun Imam
Syafii setelah dibebaskan tidak pernah berdendam dengan khalifah bahkan
sentiasa mendoakan kebaikan buat beliau.
Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Khalifah al-Makmun dan al-Muktasim telah menyiksa beliau
kerana keengganan menurut perintah maksiat mereka mengatakan al-Qur’an makhluk.
Namun, Imam Ahmad melarang para pengikutnya yakni ASWJ memberontak.
Kesimpulan
Apa yang di bentangkan ini semuanya
berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, bukanlah berdasarkan hawa nafsu
dan emosi. Nasihat untuk kaum muslimin yang di cintai sekalian untuk
berpegang teguh dengan Manhaj ASWJ ini dalam semua aspek kehidupan
mudah-mudahan kita berjaya dunia dan akhirat.
Ingatlah, Umat Muhammad yang diakhir
zaman ini tidak akan berjaya melainkan mereka mengikut jejak langkah yang telah
dilalui oleh pendahulu mereka yang soleh yang telah berjaya dunia dan akhirat.
Wallahua’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan