Ahad, 10 Jun 2012

Mesti Baca : Pas lupakan jasa Asri Muda




Mungkin ramai tidak tahu siapakah yang mencadangkan nama Barisan Nasional dan orang yang melakarkan simbol dacing. Orang bertanggungjawab ialah Tan Sri Dr Mohd Asri Muda dan pelukis logo ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, keduanya sudah arwah.

Asri pernah memimpin Pas (1965-1983) selepas Ahmad Fuad dan Dr Burhanuddin Helmy serta mantan Menteri Besar Kelantan (1964-1972). Pada zaman kemuncaknya, beliau seorang pemidato yang hebat dan memukau. Beliau satu-satunya Presiden Pas yang menyertai Umno. Ini berlaku pada 1988 selepas meninggalkan Pas yang dipimpinnya selama 18 tahun dan parti Hizbul Muslimin (Hamim) yang dipeloporinya pada 1983 selepas keluar dari Pas.

Bibit awal krisis dalaman Pas sehingga Asri dilihat sebagai liabiliti berlaku pada awal 1980an apabila pemimpin muda parti itu tidak setuju dengan sikap sederhananya. Mereka berpendapat sebagai pemimpin parti, Asri harus lebih tegas menyaingi Umno, khususnya selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan agenda menerapkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan pentadbiran negara.

Di Kelantan dan Terengganu, peristiwa kafir mengkafir mengakibatkan perpecahan keluarga dan masyarakat Islam. Mulanya ia berkisar antara penyokong gerakan muda dalam Pas dengan mereka yang pro-Asri, kemudian merebak lebih serius. Berlakunya sembahyang dua imam, pulau kenduri, perceraian suami isteri serta kubur dan masjid berasingan dalam mukim sama disebabkan perbezaan fahaman politik.

Golongan pemimpin muda dalam Pas ketika itu sangat terpengaruh dengan Revolusi Iran. Ramai pergi ‘berkursus’ di sana tanpa diketuai Presiden sendiri. Sikap sederhana Asri menjadikan beliau mula disisih golongan muda yang lebih ekstrem dari segi pemikiran dan tindakan. Suara pro-revolusi merebak cepat dalam Pas dan kemuncaknya penyingkiran Asri dan penyokong beliau yang digelar Kumpulan 13.

Mereka termasuk bekas Menteri Besar Datuk Ishak Lutfi Omar, bekas Timbalan Pesuruhjaya Negeri Datuk Nik Man Nik Mat, bekas Timbalan Menteri Besar Wan Ismail Ibrahim, bekas Bendahari Agung Hassan Muhammad, bekas Naib Ketua Pemuda Azhari Awang dan bekas Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan Salahuddin Abdullah.

Walaupun ada usaha beberapa tokoh Pas dari Kedah, termasuk Sudin Wahab, Othman Alyunusi dan Mohd Ramli Abdullah, untuk damaikan keadaan namun gagal. Di muktamar Pas pada 1982, perwakilan yang muram dan benci kepada Kumpulan 13 telah menolak ucapan dasar Presiden – sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Pas. Gambar tokoh-tokoh revolusi Iran ditampal di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka di mana muktamar diadakan. Mereka melaung pekikan Marakbar Asri (‘Mampuslah Asri’) berselang-seli dengan kalimah Allahu Akbar.

Begitulah hinanya cara perwakilan Pas melayan Presiden mereka. Sebaik muktamar, Asri letak jawatan. Beliau dijemput jadi Karyawan Tamu UKM pada 1992 dan sempat menghasilkan Meniti Arus: Memoir Politik Asri (Bangi, 1993). Namun hasratnya menulis buku Politik Bangsa Melayu Di Zaman Empat Perdana Menteri mengenai pertikaian dan kerjasama antara Pas dan Umno tidak kesampaian. Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992 pada usia 70 tahun.

Dalam memoirnya, Asri cerita bagaimana kerjasama Pas dan Umno bermula, hasil kesedaran kedua pihak mengenai tragedi 13 Mei sehingga wujudnya kerajaan campuran. “Pertemuan empat mata berlaku dalam suasana tenang, mesra dan masing-masing curah pandangan serta isi hati dengan ikhlas dan saya rasa baik Tun Razak dan saya sendiri, bercakap secara terus-terang tentang hal negara dan masa depannya sehingga menyentuh kepada soal bagaimana kita menghadapi sekitar masalah politik negara, terutamanya tentang zaman depan bangsa Melayu, dan tentu juga persoalan Islam yang menjadi suatu isu terpenting ketika itu. Sesungguhnya bertolak daripada inilah, suasana perhubungan antara Pas Kelantan dan Kerajaan Pusat mulai berubah daripada keadaan tegang kepada keadaan yang lembut.” (hal 89-90)

Kerajaan campuran yang ditubuhkan pada 1 Januari 1973 kini menjadi sejarah. Namun atas dasar perpaduan Melayu-Islam, banyak pihak berpendapat usaha perlu dilakukan untuk mencantum semula umat negara ini. Namun kepimpinan Pas hari ini, khususnya Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat berkeras tidak bersetuju. Malah, di bawah kepimpinan beliau dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas dicantumkan dengan parti cauvinis Cina dan bukan Islam.

Bukan ini sahaja, rakyat boleh lihat pelbagai keanehan Pas dan betapa tersasarnya perjuangan Pas hari ini berbanding semasa ia ditubuhkan. Sidang penubuhan Pas ke-60 minggu lalu menonjolkan sifat parti itu yang semakin ekstrem, bercelaru dan gila kuasa. Pemimpin dan ahli Pas hari ini juga tidak bercakap lagi mengenai Asri, jauh sekali untuk mengenang jasa dan sumbangan.

oleh Dato Dr MASHITAH IBRAHIM

 Sumber : mindaaktif.net


 

2 ulasan:

  1. bonda sya pernah mnjadi anak angkat dato' asri(waktu itu mnteri besar)...alangkah bagus jk allahyarham masih pjg umur mgkin beliau blh mnjadi perantara antara situasi yg tk menentu skrg..al-fatihah

    BalasPadam