Sabtu, 30 Jun 2012

#UMNOPEMBELAISLAM Fahami erti sebenar patriotisme..Niat tersembunyi "mereka" semakin terserlah..



Setelah membaca berita terbaharu buletin parti-parti politik bukan Melayu, Malaysiakini dan Malaysianinsider mengenai patriotisme, saya fikir kita sudah tidak rasional dan profesional dalam membincangkan isu ini. Niat tersembunyi mereka semakin terserlah, termasuk menemubual bekas tentera bukan Melayu yang telah bersara, dengan provokasi tertentu, agar individu tertentu menjadi sasaran bagi mendapatkan political mileage. Apakah perancangan halus sebegini masih tidak dapat membuka mata hati kita?

Ternyata pemahaman mereka terhadap makna patriotisme tersasar jauh. Mereka begitu beriya-iya menonjolkan Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon dan hujah kuat patriotisme. Hujah ini bukan sahaja tidak tepat, malah menyimpang dari sejarah sama sekali. Penubuhan MPAJA bukan untuk mempertahankan tanahair tetapi disebabkan oleh dendam dan permusuhan antara China dengan Jepun.

Fakta ini sepatutnya telah jelas, tetapi sengaja dimanipulasikan. MPAJA tidak ada kaitan dengan semangat patriotisme. MPAJA adalah komunis. Begitu juga dengan memberi nama muzium Sun Yat Sen oleh kerajaan Pulau Pinang. Apa kaitan Sun Yat Sen sejarah negara dan patriotisme? Tanyalah guru sejarah, jika itu bukan bidang kita. Saya harap PKR dan Pas tidak buta dengan pakatan ini dan mampu bersuara antara hak dengan batil.

Mengambil data kuno sebelum tahun 1971 dengan menunjukkan betapa ramainya bukan Melayu menyertai pasukan tentera menampakkan betapa sindrom ultra kiasu masih membelenggu kita. Ketika itu, kita baru sahaja mengecapi nikmat hidup tanpa dijajah dan semangat patriotisme begitu berkobar-kobar. Kini sudah lebih 40 tahun berlalu, rujuklah statistik terbaharu, barulah nampak lebih rasional dan tidak sangat untuk menegakkan benang basah. Lepas itu, buatlah kajian kenapa minat mereka begitu berkurang berbanding dahulu.

Seterusnya mereka berpendapat semangat patriotisme tidak hanya boleh dinilai dengan menyertai pasukan tentera, tetapi melalui pematuhan undang-undang, bekerja keras, berusaha mengumpul kekayaan dan membangunkan negara. Tidak ketinggalan tindakan menentang ketidakadilan dan kerajaan hari ini, juga tergolong dalam erti patriostime. Pemahaman seperti ini sekali lagi jauh tersasar.

Mereka mengukur patriotisme berasaskan benda atau materialistik, walhal makna patriotisme lebih daripada itu. Patriotisme melibatkan unsur kerohanian (agama), penyerahan jiwa raga sehingga nyawa sebagai gadaian. Ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan adalah satu contoh jelas patriotisme. Katanya: “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.”


Jelas sekali ketika itu, para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah, agar agama, bangsa dan negara terbela. Patriotisme boleh sampai ke tahap jihad jika matlamatnya benar. Inilah faktor utama yang menyatukan umat Melayu Islam melalui kebangkitan nasionalisme menghalau penjajah sehingga ramai yang syahid mempertahankan Tanah Melayu.

Justeru, saya kurang setuju apabila definisi patriotisme disempitkan dengan menyamakan dengan definisi wathaniyyah atau cintakan negara sahaja. Benar, istilah patriotisme datang dari barat, tetapi tidakkah kita bertanggungjawab untuk mengislamisasikannya? Cinta kepada bangsa dan negara dibenarkan jika bertujuan untuk memelihara agama. Bacalah pendapat Ibnu Khaldun sama.

Rakyat Malaysia sepatutnya mengkaji kenapa Menteri Pertahanan berkata demikian? Apakah kaitannya semangat patriotisme dengan bidang ketenteraan (pasukan keselamatan)? Menyertai pasukan keselamatan melibatkan pengorbanan jiwa raga untuk agama dan negara. Adakah kita sanggup untuk melakukannya sekiranya kita diselubungi dengan kiasi atau takut mati? Saya harap mereka yang membangkitkannya boleh faham maksud tersebut.

Kita perlu membezakan antara makna patriotisme, nasionalisme dan taat setia, kerana ia saling berkaitan. Tidak ada patriotisme selagi tidak ada taat setia. Taat setia mesti diukur dari segi menghormati dan mematuhi kepada Perlembagaan negara terlebih dahulu. Bukannya dengan berkata saya cintakan negara ini 1,000 kali atau menggunakan nama blogging seperti “Malaysian”, “I am Malaysian”, “Malaysian Heart”, atau melaungkan saya diperanakkan di sini dan membayar cukai dan sebagainya. Jika itulah hujahnya, buruh asing pun membayar cukai dalam bentuk “levi”. Setiap rakyat mesti taat setia kepada negara. Perlu nationalistik dan patriotik, barulah akan lahir patriotisme. Pada saya, tidak sukar untuk rakyat Malaysia bersatu jika mereka mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Patriot adalah orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara, sehingga sanggup menggadaikan nyawa. Kesemua ini istilah jika diadunkan tidak bertentangan dengan Islam jika agama tidak di kesampingkan.

Persoalannya, di manakah patriotisme jika tidak ada taat setia dan rasa hormat kepada Perlembagaan negara termasuk peruntukan-peruntukan sensitif seperti Perkara 3(1) kedudukan agama Islam, Perkara 152, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153, Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan Raja-raja Melayu. Sebenarnya sudah terhakis taat setia, nasionalisme dan patriotisme apabila kita mempertikaikan kedaulatan perlembagaan tersebut. Mempertahankan perlembagaan bermakna mempertahankan kedaulatan negara.

Berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin sebelum merdeka (kontrak sosial) dan dirakamkan di perlembagaan adalah nasionalisme. Nasionalisme atau “perasaan mencinta negara sendiri” perlu berpusat kepada perkataan “negara sendiri”. Bermakna, tidak ada lagi perasaan bangga kepada negara asal. Tidak lagi mengagung-agungkan meningkatnya kuasa ekonomi China dan India, tetapi bolehlah digunakan sebagai contoh untuk berhujah dari segi akademik. Inilah bibit-bibit ke arah patriotisme. Termasuk juga melebihkan eksport lebih dari import supaya imbangan perdagangan (balance of trade) menjadi baik bagi negara kita. Atau mengelakkan mengimport barangan atau perkhidmatan yang tidak berkualiti, sehinggalah mutu dan teknologi barangan di negara-negara tersebut diakui baik di peringkat antara bangsa.

Patriotisme memerlukan perasaan cinta yang amat mendalam terhadap tanah air dan mempertahankannya adalah satu kemestian (agama). Ini termasuk kesanggupan mengangkat senjata dan memerangi musuh apabila diisytiharkan, terutama ketika berlaku peperangan, termasuk juga yang tidak diisytiharkan atau “undeclared war”. Misalnya, Konfrantasi Malaysia-Indonesia ketika cadangan penubuhan Malaysia 1963.

Apakah ukuran patriotisme jika jumlah yang sanggup berkhidmat dalam pasukan keselamatan hanya sekelumit? Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak mahu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara. Mereka lebih selesa menggunakan nama bangsa sahaja, kerana dengan sebutan bangsa itu sudah boleh membawa dua makna iaitu bangsa itu sendiri dan negara asal.

Sama juga respon yang diberikan apabila Kempen Sekolah Satu Sistem mencadangkan suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersepadu berasaskan satu bahasa serta satu sekolah untuk semua. Belum apa-apa lagi pertubuhan-pertubuhan perkauman ini membantah sekeras-kerasnya dan mengeluarkan kata-kata mengarut seperti “a nation within a nation”, “multi-nation state” dan sebagainya.

Justeru, sudah sampai masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran, memberi penerangan sepenuhnya kepada rakyat. Jelaskan makna taat setia, nasionalisme dan patriotisme yang sebenar. Sekurang-kurangnya, konsep-konsep asas ini perlu diserapkan dalam mata pelajaran sejarah apabila ianya mula diperkenalkan sebagai subjek di sekolah-sekolah mulai tahun 2013.

Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus. Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah 3 peratus. Salah siapa? Fikirkan secara rasional daripada menyalahkan orang lain.

Lagi pula, berdasarkan kajian oleh MCA tahun 2007, menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia-belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel. Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Lagipun profesion mempunyai kaitan rapat dengan sikap kiasi atau takut mati

Berbeza dengan orang Islam, kita percaya dalam patriotisme itu terungkap konsep jihad, tanpa mengambil kira soal pangkat dan darjat. Jihad yang paling besar adalah mempertahankan agama, diikuti bangsa dan negara. Inilah faktor yang kuat menyatukan umat Islam terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa. Malangnya hari ini, kita asyik bergaduh dan bertelagah. Kita sanggup mengkafirkan konsep patriotisme dan nasionalisme, mengatakan ia adalah perancangan barat untuk memporak-peranda umat Islam sehingga kita tidak dapat bersatu. Sedangkan ia hanyalah satu istilah yang didefinisikan oleh barat secara sekular tanpa mengaitkannya dengan agama. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk mengIslamkannya, bukan mengkafirkannya hanya kerana ia datang daripada barat? Inilah sebenarnya punca kepada perpecahan umat Islam.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan