Tidak semena-mena isu
ketuanan Melayu bergema lagi. Pemimpin nombor dua PAS Perak yang pernah menjadi
Menteri Besar, membangkitkan semula ketika memberi tazkirah di dalam masjid.
Beliau menyifatkan
konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini sejak 55 tahun lalu mesti
dihapuskan serta 'dihumban' keluar daripada arus politik negara. Katanya lagi, konsep
ketuanan Melayu hanya menanam sifat kebencian terhadap kaum sekali gus membawa
kepada ketidakadilan dan kezaliman. Hairannya, tiada angin pokok bergoyang. Apa
tujuan membangkitkan isu ini?
Ya, saya tidak
nafikan. Kemuliaan seseorang bukan terletak kepada ketuanan bangsanya, tetapi
kepada keimanan dan ketakwaan. Tidak ada makna, bangsa mulia, agama tercela. Allah
tidak ada akan tanya kita soal bangsa, keturunan dan darjat di alam barzakh.
Yang ditanya adalah soalan-soalan bocor yang semua sedia tahu seperti
siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu? Jika dapat jawab, selamat.
Jika tidak, tunggulah pembalasannya.
Lagipun dalam
al-Quran tidak ada nama-nama bangsa seperti Melayu, Cina, India, mahupun
bumiputera Sabah dan Sarawak, kecuali kaum tertentu dalam lipatan sejarah. Al-Quran
menjelaskan secara umum kejadian sesuatu bangsa yang diciptakan untuk saling
mengenali. Bangsa yang paling mulia adalah kalangan mereka yang beriman dan
bertakwa. Pastinya dalam hal ini setiap bangsa yang diciptakan ada asal-usul
dan tanah tumpah darahnya.
Tidak berlaku dalam
sejarah, sesebuah negara tiba-tiba mempunyai pelbagai bangsa. Lumrah yang
berlaku, satu bangsa dicipta di satu tempat. Bangsa tersebut akan menjadi nama
identiti negara, seperti Melayu-Tanah Melayu, Cina-China, India-India dan
lain-lain. Bangsa-bangsa ini adalah tuan kepada tanah airnya sendiri. Jika ada
hak-hak istimewa mereka, itu adalah perkara biasa, selagi mana ia tidak
menindas dan menganiaya orang lain.
Pada saya, istilah
ketuanan Melayu bukanlah punca Melayu
benci kepada Cina dan India, atau sebaliknya seperti yang didakwa. Jika
dihilangkan istilah ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan syarak
sebagaimana yang disyorkan, apakah jaminan bahawa perkara negatif tersebut
tidak berlaku? Bolehkah DAP akan menerima ketuanan syarak? Cakap biar berpijak
di bumi nyata.
Permasalahan hari ini
bukan berpunca daripada istilah ketuanan Melayu. Istilah tersebut tidak bersalah.
Yang berdosa adalah manusia yang mengimplementasikan sesuatu sistem sehingga menimbulkan
masalah. Misalnya, sistem pendidikan,
perumahan, akhbar dan banyak lagi sosialisasi yang bersifat perkauman. Kenapa
terlalu sukar untuk mengakui kelemahan ini?
Saya bersetuju dengan
pendapat, bangsa sukar untuk mempertahankan agama, sebaliknya agamalah
memperkuatkan bangsa. Mulianya Melayu bukan kerana Melayu tetapi kerana Islam. Melayu
menjadi mulia setelah memeluk Islam 600 tahun lalu. Tanpa Islam, Melayu tidak
ada apa-apa.
Saya harap beliau
buatlah literature review mengenai ketuanan
Melayu. Mungkin juga beliau boleh membaca buku saya bertajuk Masih Adakah
ketuanan Melayu? Janganlah mencari publisiti murahan dengan memperalatkan
istilah ini. Ketuanan Melayu bukan merujuk kepada Melayu itu tuan, bangsa lain
itu hamba.
Selaku pengkaji, istilah
ketuanan Melayu hanyalah satu identiti, merujuk kepada penduduk asal negara ini
atau penduduk yang mula-mula membentuk kerajaan di Tanah Melayu. Ketuanan
langsung tidak merujuk kepada ketidakadilan. Lagipun, keadilan bukanlah merujuk
kepada 1=1, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perlu difahami bahawa
unsur-unsur ketuanan Melayu terdapat dan termaktub dalam perlembagaan seperti
hak istimewa Islam, Melayu dan Raja.
Sama juga masalah
yang berlaku di Lahad Datu hari ini. Kesultanan Sulu sudah tidak ada hak ke
atas Sabah. Ketuanannya ke atas Sabah telah hilang apabila mereka tidak
membentuk kerajaan di sana. Referendum rakyat Sabah sebulat suara mahu berada dalam
Malaysia. Suruhanjaya Cobbold ini ditubuhkan menguatkan lagi kedudukan Sabah sehingga
membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Benar, asal-usul Sabah berada di bawah ketuanan Kesultanan
Sulu sebelum diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara. Setelah diserahkan, rakyat
Sulu tidak ada lagi ketuanan di sana. Sabah telah menjadi sebahagian negeri
kolonial British. Pada 1962, British menyerahkan negeri Sabah kepada Tanah
Melayu sebagai menyambut idea penubuhan Malaysia selaras dengan kehendak rakyat
Sabah. Walaupun selepas itu Filipina,Indonesia dan Brunei turut menuntut, ia
sudah tidak sah lagi kerana ketuanannya telah hilang. Pada 9 Julai 1963,
British dan Tanah Melayu mencapai kata sepakat, setuju Sabah sah milik Tanah
Melayu. Tuntutan waris Sultan Sulu hanya berdasarkan surat pajakan lama yang sudah
tidak relevan lagi.
Contoh
ini amat jelas dalam memahami ketuanan sesuatu bangsa. Pengorbanan
mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu jihad. Malangnya ada segelintir
yang menuduh ia adalah sandiwara. Lebih menyedihkan ada yang sanggup berkata,
polis yang terkorban adalah mati katak. Saudaraku, cubalah hayati SMS yang
dihantar oleh salah anggota polis yang
berkorban, vat69
"Wahai
Isteriku, maafkan abang seandainya abang tersalah cakap mahupun terkasar
perbuatan..jagalah dan didiklah anak-anak kita menjadi orang yang berguna. Wahai
anak-anakku, maafkan ayah kerana acapkali ayah tiada disaat anak-anak ayah
memerlukan kasih sayang seorang ayah.. Wahai mak & abah, ampunkan
anakmu dari hujung rambut hingga hujung kaki, sesungguhnya mak & abah telah
mendidik aku menjadi insan yang berguna pada negara.. Wahai Ibu & Ayah
Mertuaku, maafkan anakanda kerana memilih kerjaya yang memungkinkan anak ibu
& ayah menjadi balu sebelum usia.. Oh Malaysiaku, maafkan aku andai
aku gugur di medan perang. Demi Allah aku telah berusaha sedaya
upaya.."
Membaca SMS ini tiba-tiba air mata gugur. Inilah semangat
ketuanan bangsa berdaulat. Sanggup mati sebagai pahlawan yang sejati demi
agama, bangsa dan negara. Jasamu pasti dikenang, mereka yang hidup belum tentu
seberani ini. Al-Fatihah.
Secara umum manusia berlonggok selesa dengan suku kaumnya sendiri. mana-mana bangsa pun sama. Cuma dalam Malaysia orang Melayu beragama Islam rata-rata. Bersatu Melayu, Bersatu Islam. Bercerai Melayu belum tentu Islam tidak bercerai.
BalasPadam