Selasa, 26 Mac 2013

Fahami siapa ultra kiasu dan tipu dayanya..



Berkali-kali saya telah nyatakan siapakah ultra kiasu? Tetapi, ada sebilangan buat-buat tidak faham. Tidak mengapa, sebab mereka juga ultra kiasu. Tidak semua orang Cina adalah ultra kiasu, tetapi DAP adalah ultra kiasu. Ultra kiasu terdapat di mana-mana, bukan sahaja dalam DAP, bahkan dalam parti-parti lain, termasuk parti komponen BN, yakni mereka yang menolak agenda kebangsaan dan perlembagaan. Tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lain. Sila rujuk kajian saya dalam tesis PhD di UPM bertajuk, persepsi pelajar Cina terhadap gerakan politik Melayu, bagaimana memberi label kurang kiasu, sederhana kiasu dan ultra kiasu.

Kiasu dalam dialek saya Hokkien, bermakna fear of loosing, takut kalah atau mahu menang. Bila ditambah ultra kiasu bermakna, langsung tidak mahu kalah. Secara ekstrem, mahu menang sentiasa dalam apa jua keadaan. Siapakah mereka dalam konteks politik Malaysia?

Misalnya, DAP dan mereka yang sewaktu dengannya, mahu mengikuti pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz (KUAA), tetapi gelagat dan perlakuan mereka langsung tidak mencerminkan. Bila pemimpin mereka sebut sahaja mahu mengikuti KUAA, kita pun bertakbir Allahhuakbar. Sedarkah kita apa agenda mereka? Sejak dari dahulu lagi saya mendengar, PAS mendakwa ramai pemimpin DAP sudah cenderung kepada Islam atau mahu memeluk Islam. Mana dia?

Sehingga ke hari ini, bukan sahaja agama Islam tidak dipeluk, tetapi ditentang habis-habisan. Apabila mereka tersepit, perlu sokongan, maka ayat-ayat suci al-Quran dipetik dan diterjemahkan. Kita terpesona dan terus bertakbir, Allahhuakbar. Lalu, kitapun berkata, “tengok! DAP pun nak Islam, berbanding UMNO”. Kita gunakan ‘Islamnya DAP’ untuk menolak persaudaraan UMNO. Kita sanggup kafirkan UMNO, kononnya untuk mengIslamkan DAP.  

DAP tidak ada pilihan untuk berkuasa, melainkan berkawan dengan PAS. DAP tidak mudah lunak dengan Islam, selagi orang Islam belum dapat ditundukkan. Hari ini, kita lihat siapa tunduk kepada siapa? DAP tunduk kepada PAS atau PAS tunduk kepada DAP. DAP  menjadi lunak kepada PAS kerana PAS sudah semakin liberal dan terbuka. Jika PAS masih berpendirian seperti dahulu, mana mungkin DAP akan berkawan dengannya. Dahulu, pengikut PAS tidak pandai bertepuk tangan dalam majlis, tetapi semenjak berkawan dengan DAP, PAS bertepuk lebih kuat daripada UMNO.

Dahulu, sebut sahaja DAP, semua kafir. Tetapi sekarang, boleh pula menjadi kawan musafir. Maklumlah, bila menjadi musafir, semua ibadat yang ketat menjadi longgar. Dahulu tak boleh, sekarang boleh. Kalimah Allah, sekejap boleh, sekejap tidak boleh. Semuanya gara-gara ultra kiasu. PAS gagal memahami antara prinsip dan budaya masyarakat Melayu.    

Saya pula dituduh lebih Melayu dari Melayu dan merosakkan imej Islam bila memberi label ultra kiasu. Hairannya pula, saban minggu ada sahaja bukan Islam yang telefon bertanyakan Islam dan menyatakan hasrat mereka memeluk Islam. Rakan Cina Muslim saya yang begitu rapat dengan DAP, dan marah saya melabelkan DAP dengan ultra kiasu, tidak pula berjaya melunakkan mereka terhadap Islam. Malah tak adapun yang masuk Islam. 

Bagaimanakah dakwah yang mereka lakukan ya? Ingin juga saya membuat kajian sebab musabab mereka gagal. Saya yakin, kegagalan ini disebabkan mereka buat-buat tidak kenal siapakah ultra kiasu? Mereka sangka dengan berbaik dengan ultra kiasu, dapat dijinakkan. Mungkin masih terlalu awal kerana baru sahaja berkawan. Perlukan masa.   

KUAA melaksanakan Islam dalam pemerintahannya. Namun, apabila Kerajaan Kelantan mahu laksanakan hudud, kaunter berasingan lelaki perempuan di pasaraya, saloon, dan sebagainya, semua ditentang. Pendek kata, apa jua agenda yang ada kaitan dengan Islam ditentang. Seolah-olah negara ini tidak ada asal-usulnya.

Pergilah ke manapun, serata ceruk rantau dunia. Apabila bangsa majoriti memerintah, mesti agenda bangsa dan agama mereka terserlah atau mengakar. Jangan pergi jauh, lihat di Thailand, agama Buddha, bahasa Siam dan raja Siam didaulatkan. Tidak ada pilihan, mesti diterima. Semua rakyat menerima, tanpa berbelah bahagi. Kenapa tidak dipertikaikan? Jika dipertikaikan maka dihumbankan ke penjara. Kita pula terlalu bertoleransi, atas alasan 1Malaysia. Apa lagi yang tinggal?

Terbaharu, pada saya, bukan Islam yang mahu menggunakan kalimah Allah, semuanya ultra kiasu. Kenapa mahu berkongsi Allah? Sedangkan sebelum ini, mereka tidak pernah peduli dengan Allah? Apabila kita berdoa kepada Allah, mereka pertikaikan amalan ini, terlalu Islamik. Itulah protes yang saban kali kita dengar dan alasan mereka tidak mahu menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Kenapa tidak sama-sama menadah tangan jika percaya kepada Allah? Apa makna agama Islam sebagai agama rasmi atau persekutuan jika inipun tidak boleh dilakukan?

Apa yang berlaku sekarang adalah kita hanya memberi hak kepada yang berhak. Kita langsung tidak mengambil hak orang lain. Kenapa perlu ditentang? Misalnya, hak istimewa raja-raja Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak.

Semua perkara ini sudah termaktub dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama. Jika dengan perlaksanaan hak-hak ini, bukan Islam hidup merana, miskin, agama mereka tergugat. kedudukan ini langsung tidak menggugat kedudukan mereka. Malah, mereka menjadi semakin kaya raya. Kerajaan tidak mengambil atau meminta sedikitpun secara kekerasan, kecuali cukai pendapatan, yang menjadi tanggungjawab semua warga. Terbaharu, dari 14 orang terkaya di negara ini, 10 Cina, 3 Melayu dan 1 India. Tidak ada seorangpun bumiputera Sabah Sarawak tersenarai. Tanyalah mereka yang kaya raya ini, ke manakah wang mereka disimpan? Dalam negarakah atau luar negara? Jawapannya, hanya ada pada ultra kiasu.

Saya bimbang ultra kiasu akan lari bila berhadapan dengan krisis seperti Lahad Datu. Sekarang ini mereka berkobar-kobar menyokong, sebab ultra kiasu tidak ada di situ. Yang menjadi korban adalah orang Islam dan bumiputera Sabah. Sebab itu mereka berani berkata itu adalah sandiwara dan mereka yang terkorban mati katak. Masihkah kita buta? 
 

1 ulasan:

  1. Masha Allah! Subhanallah! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! Semoga ALLAH melindungi umat Islam setiap saat. Semoga ALLAH melindungi dan memeliharamu sentiasa - Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah. Amiin.

    BalasPadam